Nasional

Ulasan | Titah Adendum, Anwar Menang Pada Prinsip dan Moral

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN | Kredit harus diberikan kepada barisan pembangkang terutama parti Pas kerana menjuarai isu ini untuk mengambarkan seolah-olah kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim derhaka kerana melanggar titah berkenaan.

Sayangnya apa yang dihujah oleh Pas dan sesetengah Ahli Parlimen Bersatu yang terhutang budi dengan parti itu terutama di sebelah Pantai Timur adalah dangkal, bukan sahaja dari prinsip undang-undang tetapi terhina kerana memperalatkan kedudukan Raja-Raja Melayu yang tertegak atas Perlembagaan yang cukup tinggi.

Tidak dapat dinafikan sejak pernah menjadi kerajaan beberapa tahun yang lalu, Pas seolah-olah ‘gila talak’ untuk kembali ke Putrajaya.

Kalau hendak berhujah siapa derhaka, episod pasca PRU-16 lalu adalah bukti terang lagi bersuluh bahawa Pas terlebih dahulu derhaka apabila menolak cadangan atau titah Agong ketika itu agar semua parti bergabung demi menstabilkan negara yang baharu habis berdepan dengan bahana Covid-19.

Tetapi itulah Pas, yang selalu meletakan semua kesalahan dibahu seteru politik malah tidak teragak-agak untuk meletakan kesalahan itu kepada kawan politiknya juga. Dan Bersatu pada amalannya kini terdedah kepada pengkhianatan daripada Pas yang ketika ini ghairah menyokong Najib Razak.

Pelik lagi ajaib, kerana ketika Pas dalam kerajaan ketika Najib dijatuhkan hukuman, Pas tidak seghairah ini mencatur himpunan kononnya bersoladariti terhadap bekas perdana menteri itu, malah jika diselak sejarah Pas adalah yang paling lantang bersuara terhadap kesalahan yang dilakukan Najib hingga menyebabkan mantan Ahli Parlimen Pekan itu meringkok di Kajang.

Mengubah Tanggapan

Pada ketika ini isu adendum pengampunan Najib menjadi senjata ampuh untuk memburukkan kerajaan Madani yang dipimpin oleh Anwar, Pas ibarat orang yang lemas di lautan, akan mencapai apa sahaja yang terapung untuk menyelamatkan diri.

Dewasa ini banyak isu nasional mahupun negeri-negeri yang ditakbir Pas menemui kegagalan dalam bidang pengurusan ekonomi dan politik. Lihat sahaja bagaimana ‘The Greater Kedah’ yang dialun panglima perang mereka Sanusi Md Nor menyaksikan satu persatu menuju kegagalan.

Malah Sanusi seolah-olah lepas tangan dalam masalah dalaman pasukan bola sepak Hijau Kuning yang sukar melangsaikan beberapa gaji pemain dan pengurusan. Malah sudah ura-ura bahawa pasukan kesayangan warga Kedah ini akan tersingkir daripada arena perdana bola sepak negara. Jika ini berlaku, amat malang bagi rakyat Jelapang Padi yang selama ini di bawah pelbagai parti dan Menteri Besar bola sepak Kedah sentiasa gah di persada negara.

Lebih parah Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, sanggup mempertahankan isu fitnah. Pas bersoladariti terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad kerana setelah didapati bersalah memfitnah tiga Ahli Parlimen Dap kerana dikaitkan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Impaknya bukan setakat Mastura boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen apabila diisytiharkan muflis jika gagal membayar ganti rugi saman fitnah diperintahkan terhadapnya. 

Tetapi lebih parah rakyat didedahkan bahawa agenda fitnah boleh dijadikan sandaran untuk meraih sokongan dalam pertempuran politik di negara ini.

Ini adalah antara beberapa contoh yang menyebabkan Pas ‘naik hantu’ dalam menyatakan sokongan kepada Najib.

Dan sifir paling mudah untuk mengatasi krisis sokongan rakyat ini dengan menghalakan serangan terhadap Anwar dalam isu pengampunan dan adendum Najib.

Anwar Tangkas Berpencak

Dalam isu adendum ini sifirnya mudah, pembangkang cuba meletakkan semua kesalahan ini kepada Anwar. Mereka mencipta persepsi bahawa segala-gala yang berlaku dalam negara ini bersabit dengan campur tangan seorang Perdana Menteri.

Tuduhan seperti ini dilihat lazim, kerana sepanjang era pentadbiran politik di negara ini memusatkan bahawa yang paling ‘maha’ berkuasa adalah seorang Perdana Menteri.

Momokkan seperti ini sudah mendominasi arena politik negara sejak zaman selepas merdeka lagi. Kisah-kisah seperti pemenjaraan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris, pengharaman UMNO, krisis kehakiman 1988 malah konfrantasi dengan Raja-raja Melayu pun dikaitkan pemusatan terlalu berkuasa seorang bergelar Perdana Menteri paling lama di negara ini.

Manakala Anwar adalah salah seorang mangsa paling sadis dalam perjalanan politik bekas Perdana Menteri itu.

Sebagai mangsa paling sadis dan perjuangan dalam kesukaran selama 20 tahun dengan segala tekad selepas mengangkat sumpah mana mungkin seorang Anwar membenarkan kepahitan yang ditempuhinya dilalui oleh orang lain walaupun berbeza bendera politik.

Jika ini naratif yang cuba didendang pembangkang, Anwar telah membuktikan bahawa beliau bukan seperti yang diharapkan oleh musuh politiknya.

Dalam isu adendum ini pencak Anwar tangkas, beliau memilih untuk terus membuktikan bahawa beliau tiada keinginan untuk mencampuri urusan kehakiman, pendakwaan dan kuasa-kuasa yang melibatkan Raja-raja Melayu.

Perkara ini ditegaskan oleh Anwar bukan dipentas ceramah, tetapi dalam Dewan Rakyat yang mulia.

Jelasnya beliau tiada kuasa, walaupun sebagai Perdana Menteri untuk melihat kes-kes dalam Majlis Pengampunan kerana beliau bukan salah seorang daripada ahlinya.

Malah beliau, meminta perkara ini diselesaikan dalam sidang Mahkamah 6 Januari.

Terbukti setelah 6 Januari dilewati, terbukti bahawa Anwar adalah pemenang walaupun keputusan mahkamah tidak memihak kepada kerajaan.

Selain Anwar, yang jelas menang secara nyata ialah institusi kehakiman. Dengan keputusan Mahkamah Rayuan menunjukkan keputusan kerajaan iaitu badan eksekutif termasuk Lembaga Pengampunan  boleh dicabar dan disemak di Mahkamah.

Boleh dibayangkan jika peristiwa ini berlaku pada zaman Perdana Menteri yang itu.

Terang lagi bersuluh, bahawa titah adendum ini terkeluar daripada pengaruh Anwar selaku Perdana Menteri.

Manakala kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Penjara Malaysia menjelaskan lagi bahawa titah adendum tidak ada dalam senarai titah Agong yang bermesyuarat dalam Lembaga Pengampunan.

Berkenaan titah adendum kita sama-samalah tunggu keputusan mutlak mahkamah. Jangan lagi dipening-peningkan rakyat dengan hujah-hujah politik yang tidak berkesudahan.

Related Articles

Back to top button