Nasional

Lesen media sosial bukan sekat demokrasi, hak bersuara

PETALING JAYA: Pelaksanaan pelesenan platform media sosial yang berkuat kuasa mulai awal tahun ini bukan bertujuan untuk menyekat demokrasi dan hak bersuara seseorang individu.

Sebaliknya, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, pelesenan itu memberi penegasan kepada para pengendali supaya lebih bertanggungjawab terhadap platform media sosial masing-masing.

Sebelum ini, jelasnya, banyak pengendali dipercayai bersembunyi dan mendakwa tidak mempunyai sebarang kaitan di sebalik sebarang komen pengguna yang mengundang kecaman atau kesan buruk.

“Untuk lebih jelas, analoginya adalah apabila si pemberi pisau mendakwa dia tidak bertanggungjawab atas apa-apa perbuatan yang dilakukan oleh individu yang menggunakan pisau tersebut, atas tujuan kerosakan seperti menikam dan memotong. Jadi, ini satu perkara yang tidak adil.

“Hal ini kerana jika pisau tersebut tidak disediakan, maka tiadalah kerosakan yang dibuat. Situasi ini sama seperti pengendali dan pengguna media sosial,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan pelesenan platform media sosial berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.

Dengan langkah ini, semua platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna diperlukan mempunyai lesen untuk beroperasi di Malaysia, jika tidak, ia telah melanggar akta yang ditetapkan.

Langkah perlesenan ini dilakukan dalam memastikan pengendali lebih bertanggungjawab dalam menguruskan platform masing-masing, di samping memastikan kandungan yang berbahaya termasuk lucah, perjudian dan penipuan dikekang.

Proses perlesenan ini adalah untuk platform media sosial dan bukannya untuk orang perseorangan.

Sebanyak 8 platform media sosial diperlukan untuk memohon lesen buat masa ini, iaitu WhatsApp, Facebook, Instagram, X (dulunya Twitter) YouTube, Telegram, WeChat dan juga TikTok.

Namun, tiada sebarang lesen yang dikeluarkan buat masa ini, membuatkan kesemua platform ini kini melanggar peruntukan yang telah ditetapkan.

Platform yang disabitkan bersalah di bawah pelaksanaan pelesenan baharu ini boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 serta ditambah denda setiap hari bagi kesalahan berterusan.

Related Articles

Back to top button