Hubungan dagang dengan Eropah, beri potensi baharu buat negara – Dr Barjoyai

PETALING JAYA: Keputusan penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) memberi potensi ekonomi baharu kepada negara ini.
Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, negara Eropah sebelum ini tidak menjadi keutamaan dalam perdagangan Malaysia.
Beliau berkata, ini berikutan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pentadbirannya mengamalkan konsep Dasar Pandang ke Timur yang menjadikan negara Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh.
“Ketika itu, kita abaikan pasaran ke Eropah menyebabkan mereka tidak menyukai Malaysia.
“Apabila kita buat keputusan untuk menghidupkan kembali hubungan dagang dengan Eropah, ia memberi potensi baharu pasaran kepada Malaysia. Ini kerana negara Eropah hari ini dilihat berbeza manakala Malaysia juga melihatnya sebagai potensi permintaan baharu, pasaran baharu, pelaburan baharu yang datang daripada kumpulan negara Eropah.
“Itu merupakan perkara positif dan tiada sebarang kerugian untuk kita memulihkan hubungan perdagangan dengan Eropah,” katanya.
Ketika ditanya mengenai jangkaan nilai pelaburan, Barjoyai tidak menolak kemungkinan bahawa ia akan meningkat tinggi pada awalnya manakala potensinya juga adalah besar.

Katanya, meskipun Eropah dilihat membangun dan melonjak dari segi permintaan ekonomi, namun negara tersebut memiliki pasaran besar kerana unjuran penduduknya adalah dari kelas pertengahan tinggi.
“Oleh itu, kita boleh mengharapkan jumlah potensi perdagangan besar dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Terdahulu, penyambungan semula rundingam MEUFTA itu diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula Von Der Leyen sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Brussels, Belgium.