Media arus perdana tetap jadi bahan rujukan sumber – Pensyarah

PETALING JAYA: Media arus perdana harus dijadikan rujukan utama berikutan sumber berita dan maklumat yang lebih dipercayai serta berautoriti.
Ketua Pusat Pengajian Media Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Ahmad Farami Abdul Karim berkata, wartawan media arus perdana telah dilatih dan terikat dengan kod etika dan undang-undang.
Katanya, media arus perdana memberi kesedaran mengenai impak pelaporan berita terhadap masyarakat, sementara maklumat yang disiarkan sudah diteliti dan diselidik terlebih dahulu.
“Kalau ada maklumat atau berita palsu, masyarakat biasanya bergantung kepada media arus perdana untuk menyemak dan memperbetul.
“Apabila berlaku sesuatu kejadian, orang ramai menunggu pengesahan maklumat daripada media arus perdana yang lebih berautoriti,” katanya.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil turut menyarankan agar media arus perdana diutamakan sebagai rujukan berbanding media sosial.
Beliau mengingatkan pengguna media sosial agar selalu berwaspada dan tidak mudah percaya dengan berita yang disampaikan di media sosial.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Farami berkata, media sosial termasuk penjana kandungan pengguna (user generated content) atau wartawan warga (citizen journalism) tidak memiliki pengawal kandungan atau ‘gatekeepers’.
Jelasnya, kandungan media sosial sering dihasilkan oleh wartawan tidak terlatih dan tidak semestinya melakukan pengesahan fakta (fact checking) sebelum berkongsi maklumat.
Beliau turut menegaskan bahawa, maklumat yang tular di media sosial cenderung kepada sensasi dan kontroversi tanpa konteks pelaporan yang jelas dan menyeluruh.
“Dalam dunia ‘post-truth’ atau pasca kebenaran, ada kecenderungan khalayak percaya kepada maklumat yang memanipulasi emosi bukannya fakta.
“Penyebar maklumat di media sosial tidak sedar implikasi undang-undang,” ujarnya.