Nasional

Produk makanan negeri diperkenal sempena ASEAN 2025

PETALING JAYA: Kerajaan disaran menggalakkan peniaga mempromosi makanan tradisional negara pada Mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abdul Majid berharap langkah itu akan membanggakan negara yang memiliki pelbagai makanan tradisional di setiap negeri.

“Peniaga dari setiap negeri berbeza akan memperkenalkan hasil produk pelancongan kepada negara ASEAN yang sudah pasti memiliki cita rasa makanan berbeza dan tiada di negara lain,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar karnival makanan tradisional diperluaskan ke negara-negara ASEAN lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Kemboja, Laos dan Vietnam.

“Di dalam negara, karnival makanan disaran dianjurkan di Pulau Pinang yang mempunyai variasi makanannya (Melayu, Mamak, Cina, India) yang unik.

“Pada masa sama, GPPPKMM sedia memberi pendapat jika diperlukan untuk menjayakan pameran makanan tradisional ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Mini MAHA akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama agro antara negara-negara ASEAN.

Beliau berharap acara itu dapat menarik lebih banyak pelaburan asing, meningkatkan eksport produk agro tempatan dan memperkasakan peranan Malaysia dalam keterjaminan makanan di rantau ASEAN.

Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun.

Related Articles

Back to top button