Nasional

Chatbot Sebenarnya.my: Memandu Generasi Muda ke Arah Literasi Digital

PETALING JAYA: Pelancaran Chatbot Sebenarnya.my di platform WhatsApp merupakan langkah positif untuk memberikan panduan khusus kepada generasi muda dan golongan yang semakin bergantung kepada teknologi moden.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, kebergantungan itu berkait dengan teknologi komunikasi, kecerdasan buatan (AI) dan media sosial dalam kehidupan harian mereka.

Katanya, langkah itu seiring dengan pembangunan penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat.

“Ia menjadi satu perkara yang amat positif selain mengharapkan dapat membawa beberapa konteks perisian dan cara-cara yang lebih berkesan dengan menggunakan elemen-elemen kemajuan teknologi AI dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia menjadi satu inovasi baharu dalam memastikan keharmonian dan kepentingan masyarakat dapat dipelihara dengan membentuk keseimbangan pembangunan teknologi moden dan rangkaian komunikasi pintar.

Dr Noor Ninwandy berkata, kemajuan dalam teknologi digital juga dapat memastikan unsur-unsur jenayah salah laku dan penggunaan tata kelola yang salah dalam media sosial dibendung secara awal.

“Usaha memperkukuhkan pemikiran moden yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara harus diteruskan.

“Ini bukan sahaja memastikan kemajuan pemikiran yang seimbang tetapi juga membentuk aspirasi nasional yang menitikberatkan kepentingan dan keselamatan negara demi masa depan yang lebih terjamin,” ujarnya.

Pada 28 Januari lalu, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil melancarkan Chatbot Sebenarnya.my sebagai inisiatif terkini untuk memastikan rakyat mendapat maklumat sahih.

Chatbot yang dinamakan Artificial Intelligence Fact-Check Assistant (AIFA) itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membanteras penyebaran maklumat palsu serta memupuk literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia.

Related Articles

Back to top button