Nasional

Media Malaysia disaran sokong ASEAN jadi Zon Bebas Genosid

PETALING JAYA: Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican menyarankan agar media tempatan memperjuangkan cadangan menjadikan negara-negara ASEAN sebagai Zon Bebas Genosid.

Beliau menegaskan bahawa pengisytiharan itu perlu disegerakan memandangkan kejadian genosid yang pernah dan sedang berlaku di Gaza.

“Dalam sejarah moden rantau ASEAN sejak tahun 1970-an, kita telah mengalami beberapa peristiwa genosid. Ia amat dekat dengan kedudukan Malaysia.

“Media Malaysia hendaklah menyiarkan ulasan dan komentar yang tepat dan mendalam supaya ia dibincangkan dan diterima oleh semua ahli rantau ini.

“Walaupun ada ahli yang tidak bersetuju, adalah tanggungjawab media kebangsaan memainkan peranan advokasi sambil menyediakan pelantar dialog serantau menentang gejala genosid,” katanya ketika dihubungi.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa bantuan Malaysia dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin akan dijalankan menerusi kerjasama antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.

Usaha pembangunan semula Gaza juga melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dan Malaysia yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.

Pada 19 Januari lalu, gencatan senjata dalam tiga fasa antara kumpulan Hamas dan Israel mula berkuat kuasa dalam fasa pertama yang meliputi tempoh enam minggu, perjanjian yang dicapai selepas lebih 460 hari konflik yang menyebabkan kemusnahan besar kepada Gaza serta meragut nyawa puluhan ribu rakyat Palestin.

Related Articles

Back to top button