YADIM puji Malaysia sebagai model sokongan global untuk Gaza
PETALING JAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memuji komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membangunkan semula infrastruktur penting di Gaza termasuk masjid, sekolah dan hospital seperti yang diumumkan pada 29 Januari lalu.
Dalam satu kenyataan, YADIM menegaskan bahawa usaha itu adalah tanggungjawab bersama masyarakat antarabangsa demi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan dunia.
“Kerajaan dan rakyat Malaysia terus memainkan peranan penting bagi mempertahankan keadilan serta hak asasi manusia,” kata YADIM.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, inisiatif bantuan tersebut tidak bergantung sepenuhnya kepada perbelanjaan kerajaan.
“Dengan kepimpinan bijaksana dan diplomasi mantap, Perdana Menteri telah mengukuhkan hubungan strategik dengan kuasa ekonomi besar seperti China dan Jepun yang turut komited dalam pembangunan semula Palestin,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa adalah tidak tepat untuk menyamakan sokongan Malaysia terhadap Palestin dengan peribahasa ‘anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kebuluran’.
“Malaysia sentiasa meletakkan kebajikan rakyatnya terpelihara tanpa mengira latar belakang dan perbezaan mereka,” katanya.
Hasanuddin turut menekankan bahawa sokongan negara terhadap Palestin bukan sekadar manifestasi solidariti kemanusiaan tetapi juga cerminan tanggungjawab moral dan integriti sebagai negara yang dihormati di peringkat antarabangsa.
“Saya percaya usaha berterusan ini bukan sahaja memperkukuh kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia, malah membuka peluang pelaburan dan pelancongan, sekali gus meningkatkan daya tarikan.
“Semoga segala ikhtiar kita dalam membantu rakyat Palestin diberkati Allah SWT dan marilah kita terus berdoa agar keamanan serta kesejahteraan kembali di bumi Gaza dan seluruh Palestin,” tambahnya.