Nasional

Malaysia perlu pimpin ASEAN, tingkat kesejahteraan serantau – PSM

PUTRAJAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencadangkan sembilan gagasan kepada Kerajaan dalam usaha pembangunan ASEAN yang akan memanfaat semua penduduk di rantau Asia Tenggara.

Pengerusi Nasional PSM, Dr Jeyakumar Devaraj berkata perlumbaan antara negara-negara ASEAN menarik pelabur asing dilihat baik namun perlu kepimpinan agar tidak menekan golongan pekerja.

“… seperti bersaing untuk mengurangkan korporat cukai dan menekan gaji pekerja pada paras yang rendah, bukan sahaja membantutkan pembangunan pasaran dalaman rantau ini, malah menyekat kelonggaran fiskal untuk kerajaan melaksanakan program-program yang membantu rakyat biasa dan melindungi alam sekitar, serta meningkatkan hutang negara di hampir semua negara ASEAN,” katanya selepas menyerahkan memorandum (MoU) kepada Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini.

Tambahnya, sudah tiba masa bagi semua pihak mengembalikan semangat Bandung yang menekankan kerjasama serantau untuk memajukan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat.

“Kami berharap Kerajaan Malaysia akan mengambil berat tentang idea-idea yang dikemukakan dalam memorandum yang diserahkan ini. Kami bersedia untuk berjumpa dengan kerajaan supaya membincangkan isu-isu yang dibangkitkan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam memorandum ini secara mendalam,” katanya.

Memorandum ini telah disokong oleh 55 buah organisasi, termasuk PSM, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Gabungan Darurat Iklim (GDI), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan pelbagai pihak lagi.

MoU itu diterima oleh Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Hiew Kim Boon yang akan menyerahkan kepada Perdana Menteri sendiri. 

Memorandum dengan tema “Ke Arah ASEAN yang Makmur dan Inklusif”

  1. Membangunkan pasaran dalaman Asia Tenggara untuk mengurangkan kebergantungan pada pasaran di luar rantau ini seperti Eropah dan Amerika Syarikat, di samping menjana pekerjaan baharu, meningkatkan kutipan cukai dan memperluaskan pasaran bagi barangan keluaran peniaga-peniaga kecil tempatan.
  2. Membangunkan strategi untuk meningkatkan gaji minimum di negara-negara ASEAN secara bersama, serentak dan bersesuaian dengan tahap sara hidup.
  3. Hentikan perlumbaan antara negara-negara ASEAN dalam mengurangkan kadar cukai korporat, sebaliknya bekerjasama dalam mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan kadar cukai korporat secara beransur-ansur dan serentak di rantau Asia Tenggara supaya mencapai satu tahap yang lebih tinggi.
  4. Perkenalkan kadar cukai karbon yang sama dan berkesan untuk mengawal pelepasan karbon di semua negara ASEAN.
  5. Mengambil langkah-langkah konkrit untuk menangani masalah pengangguran anak muda dengan cara seperti mewujudkan lebih banyak pekerjaan dalam sektor awam (seperti kesihatan, kebajikan dan pemuliharaan alam sekitar) serta ekonomi kitaran, di samping memastikan sektor swasta mengeluarkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan untuk kegunaan rakyat serantau.
  6. Mengadakan usahasama untuk mempelopori industri hijau baharu.
  7. Melindungi hak asasi orang pelarian, seperti hak mereka untuk bekerja.
  8. Mewujudkan proses semak-dan-imbang yang telus untuk ekstradisi (penghantaran pulang orang yang dikehendaki oleh pihak berkuasa negara masing-masing) antara negara-negara ASEAN.
  9. Menganjurkan program-program yang benar-benar dapat mengeratkan hubungan antara rakyat biasa di negara-negara ASEAN.

Related Articles

Back to top button