Nasional

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC: Langkah bijak reda ketegangan perdagangan AS-China

PETALING JAYA: Cadangan Malaysia agar Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dibuka kepada Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah patut diberi pujian.

Pakar geostrategi, Dr Azmi Hassan berkata, idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu penting untuk meredakan perang perdagangan antara AS dan China.

“Pada masa ini, mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang pertama kali hanya melibatkan China dan negara-negara GCC.

“Tujuan mesyuarat ini adalah untuk membuka pasaran lebih luas kepada ASEAN, China dan negara-negara Teluk.

“Apabila Datuk Seri Anwar mencadangkan supaya rakan dari Eropah dan AS turut serta, ia adalah strategi untuk memperluas ruang lingkup pasaran antara China, ASEAN, GCC, AS dan negara-negara Eropah.

“Ini mengukuhkan lagi hubungan perdagangan antara negara-negara yang terlibat,” jelasnya semasa dihubungi.

Walau bagaimanapun, beliau meramalkan bahawa pertemuan antara China dan AS tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Beliau menambah bahawa strategi itu adalah perkembangan yang menarik kerana ia membolehkan ASEAN memainkan peranan dalam meredakan ketegangan antara dua kuasa besar tersebut.

Terdahulu, Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasratnya untuk membuka penyertaan kepada negara luar termasuk AS dan Kesatuan Eropah dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC.

Anwar membuat kenyataan itu semasa Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), baru-baru ini.

Related Articles

Back to top button