Nasional

Pavilion Malaysia di MWC 2025 jadi bukti kemajuan negara

BARCELONA – Malaysia secara rasminya membuka pavilion di Mobile World Congress (MWC) 2025 di Barcelona, Sepanyol, semalam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pavilion itu mempamerkan kemajuan teknologi Malaysia serta peranannya dalam memacu perkembangan melalui pelaksanaan 5G, infrastruktur digital dan inovasi kolaboratif di rantau ASEAN.

“Menggabungkan Kementerian Komunikasi, MCMC, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta pemimpin industri termasuk Digital Nasional Bhd, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd, YTL Corporation Bhd, Edotco Group Sdn Bhd dan MEASAT Global Bhd, Pavilion Malaysia mencerminkan komitmen negara dalam memacu transformasi digital dan memperkukuh kerjasama antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, Malaysia komited dalam membangunkan ekosistem digital yang memberi manfaat kepada rakyat dan rakan serantau.

“Pavilion Malaysia di MWC 2025 menjadi bukti kemajuan negara serta visi kami untuk masa depan yang terhubung, inovatif dan mampan,” katanya.

Menurut MCMC, tarikan utama pavilion itu ialah Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA), yang melepasi jangkaan dengan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada lebih 9.03 juta premis, melebihi sasaran asal sebanyak 9 juta menjelang 2025.

“Satu lagi ciri utama ialah rangkaian teras berbilang operator 6-Way Multi-Operator Core Network (MOCN), inisiatif pertama seumpamanya di ASEAN yang meningkatkan kesalinghubungan melalui perkongsian infrastruktur dalam kalangan pengendali rangkaian mudah alih,” kata MCMC.

Tambah Mohamad Fauzi, dengan mempamerkan pencapaian Malaysia di MWC 2025, negara ini bukan sahaja mengekalkan kedudukan setanding kemajuan global, malah menyumbang inovasi berharga yang memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial.

Pavilion Malaysia turut menampilkan MCMC Nexus, alat analitik yang bertujuan meningkatkan prestasi rangkaian dan perancangan bandar, serta pelbagai penyelesaian digital yang diterapkan dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pembuatan dan bandar pintar.

Pavilion Malaysia akan dipamerkan di Hall 7, Stand 7H51 sepanjang MWC 2025 yang berlangsung dari 3 hingga 6 Mac.

Related Articles

Back to top button