Bisnesekonomi

Pengurusan bijak KWSP pacu kadar dividen tertinggi – Pakar

PETALING JAYA: Pencapaian memberangsangkan kadar dividen 2024 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah hasil daripada pengurusan berhemat dan strategi pelaburan bijak oleh pengurusan KWSP untuk memastikan kesejahteraan para pencarum.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, KWSP mempunyai pasukan pengurus dana yang berdisiplin dan berpengalaman di mana budaya ini dipupuk sejak lebih tujuh dekad.

“KWSP berani untuk menstruktur pelaburannya meliputi seluruh dunia dan meliputi semua kemungkinan potensi keuntungan, menjadi faktor kepada prestasi cemerlang dana itu.

“Kenaikan nilai pelaburan berasaskan teknologi berkait dengan teknologi digital dan IR4.0 banyak membantu meningkatkan prestasi pelaburan ini,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Khamis.

Pada 1 Mac lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus yang diumumkan untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024 adalah yang tertinggi untuk tempoh selepas 2017.

Beliau berkata, antara faktor yang mendorong kadar dividen itu adalah pasaran ekuiti di Malaysia yang meningkat 12.7 peratus serta pasaran ekuiti seluruh dunia yang naik 17 peratus.

Mengulas lanjut, kata Barjoyai, kenaikan dividen ini mencerminkan peningkatan nilai pelaburan dan nilai permilikan setiap pencarum berasaskan pada bagi simpanan mereka.

“Namun ada lebih enam juta pencarum yang baki simpanan hanya RM10,000, kerana mereka telah membawa keluar simpanan di bawah skim khas Covid-19.

“Mereka ini tidak banyak mendapat faedah dari kenaikan kadar dividen ini,” tambahnya.

Terdahulu, kadar dividen KWSP bagi 2024 lebih tinggi berbanding tahun 2023, dan paling tinggi sejak tahun 2017.

Pada tahun lalu, KWSP membayar dividen 5.5 peratus untuk simpanan konvensional, manakala 5.4 peratus untuk simpanan syariah, manakala dividen paling tinggi pernah diagihkan KWSP adalah 8.5 peratus iaitu iaitu dari 1983 hingga 1987.

Related Articles

Back to top button