Anwar

Anwar terima kunjungan guru agama dari Kelantan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan memperkukuh pendidikan Islam ketika menerima kunjungan tuan guru dan alim ulama dari Kelantan di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Beliau menghargai pandangan para ulama mengenai pendidikan turath serta pemerkasaan institusi pondok di Malaysia.

“Buah fikiran dan nasihat para tuan guru amat saya hargai, dan saya percaya ia terpancar dari keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh kepentingan memupuk semangat persaudaraan dan menghindari perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang, serta menghindari kebencian,” tambahnya.

Anwar turut menyambut baik saranan agar inisiatif kerajaan dalam memperkukuh Islam dapat dijelaskan dengan lebih meluas kepada rakyat.

“Kami sependapat bahawa dalam banyak perkara, titik persamaan itu lebih besar daripada perbezaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau juga menekankan hubungan baik yang semakin erat dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, sebagai langkah penting dalam memperkukuh kerjasama bagi pembangunan ummah.

Anwar berharap sesi perbincangan seperti ini dapat diteruskan kerana ia menjadi platform penting dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara.

Related Articles

Back to top button