NasionalSemasa

Pelajar usah ragu-ragu lapor segera, jangan biar diri, rakan dibuli – Asyraf Wajdi

PETALING JAYA: Para pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) diingatkan untuk tidak ragu-ragu melaporkan sebarang kes buli yang berlaku di asrama.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki melalui hantaran di media sosialnya, menyeru pelajar untuk berani tampil melaporkan kejadian buli secara terus kepada beliau melalui platform media sosial yang sedia ada.

“Saya merayu agar para pelajar jangan sesekali ragu melaporkan kes buli di asrama.

“Jika isu seperti dewan selera, tandas dan kelas boleh diadukan terus kepada saya, harap isu buli juga tidak terkecuali. Hentikan budaya membuli,” kata beliau.

Asyraf Wajdi berkata, beliau aktif menggunakan medium media sosial untuk menerima maklum balas dan pandangan daripada pelbagai pihak terutamanya berkaitan MRSM, demi memastikan penambahbaikan secara berterusan.

Baginya, MRSM adalah lambang penting dalam memperkasa agenda Melayu-Bumiputera.

“Bila saya mula terjah Institusi-Institusi Pendidikan MARA (IPMA), semuanya berdasarkan aduan dan maklum balas daripada pelajar, ibu bapa, dan tenaga pendidik.

“Alhamdulillah, banyak perkara seperti isu kartel makanan, kualiti dewan makan, tandas serta fasiliti lain telah berjaya diselesaikan,” jelas beliau.

Beliau turut mengingatkan pelajar agar tidak takut dilabel dengan istilah negatif oleh pembuli.

Sebaliknya, katanya, pelajar harus mengambil langkah berani untuk melaporkan insiden yang berlaku.

“Tiada tempat untuk budaya buli di mana-mana institusi di bawah MARA termasuk MRSM.

“Jika ada individu yang berusaha menutup atau mempertahankan pembuli, tindakan tegas akan dikenakan, termasuk terhadap pengetua, guru atau warden,” tegasnya.

Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 1 minit 31 saat yang memaparkan seorang pelajar dibuli di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan tular di media sosial.

Pihak polis mengesahkan kejadian tersebut berlaku pada pertengahan tahun lepas dan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Related Articles

Back to top button