Perancis beri bayangan bakal iktiraf Palestin sebagai sebuah negara bulan Jun depan

Oleh: Tyah Helmi
PARIS : Presiden Perancis, Emmanuel Macron tampil memberi bayangan bahawa negaranya berkemungkinan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat pada bulan Jun depan.
Macron berkata demikian di saluran Televisyen France 5 pada Rabu dan beliau merancang untuk memuktamadkan keputusan terbabit ketika berlangsungnya sesi persidangan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung konflik Palestin- Israel.
“Kita perlu bergerak ke arah pengiktirafan dan kita akan melakukannya dalam beberapa bulan ini,” katanya.
Macron turut menegaskan bahawa keputusan itu bukan dibuat bagi memuaskan hati mana-mana pihak, sebaliknya kerana ia dianggap sebagai tindakan yang wajar pada masanya.
“Saya tidak lakukan ini untuk menyenangkan sesiapa. Saya akan lakukannya kerana pada satu ketika nanti, ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin menyambut baik kenyataan Macron dan menyifatkannya sebagai satu langkah positif yang selari dengan usaha mempertahankan hak rakyat Palestin.
Bagaimanapun, Menteri Luar Israel, Gideon Saar mendakwa bahawa sebarang pengiktirafan secara unilateral ke atas Palestin sebagai sebuah negara yang berdaulat hanya memberi ganjaran kepada kumpulan pejuang Hamas.
“Pengiktirafan secara unilateral terhadap sebuah negara Palestin yang hanya bersifat rekaan, dalam keadaan semasa yang kita semua ketahui, hanyalah satu ganjaran kepada keganasan dan satu dorongan kepada Hamas,” katanya menerusi ciapan di platform X.
“Tindakan seperti ini tidak akan membawa keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini. Sebaliknya, ia hanya akan menjauhkan lagi semua itu,” tambah beliau.
Setakat ini, sebanyak 146 daripada 193 negara anggota PBB telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat
Antara negara yang turut membuat pengiktirafan pada tahun lalu ialah Malaysia, Armenia, Slovenia, Ireland, Norway, Sepanyol, Bahamas, Trinidad dan Tobago, Jamaica serta Barbados.
Pada perkembangan yang sama, Kementerian Kesihatan memaklumkan jumlah terkini angka rakyat Palestin yang syahid mati dibunuh oleh tentera haram Israel iaitu sekurang-kurangnya 50,810 dan 115,688 yang lain mengalami kepelbagaian kecederaan sejak 7 Oktober tahun lalu.