Uncategorized

MB Selangor terima kunjungan hormat Duta Besar UAE, bincang sektor berpotensi

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerima kunjungan hormat Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK).

Dalam hantaran di Facebook, Amirudin berkata, pertemuan itu membuka lembaran baharu dalam usaha kerjasama strategik antara Selangor dan UAE khususnya dalam sektor-sektor yang berpotensi tinggi.

“Antara bidang yang dibincangkan termasuklah kecerdasan buatan (AI), keselamatan makanan, tenaga boleh baharu, pembangunan infrastruktur serta industri semikonduktor,” katanya.

Beliau menggariskan komitmen Selangor dalam meneroka peluang pelaburan baharu untuk mengukuhkan negeri sebagai hab ekonomi dan teknologi.

“Saya juga berkongsi fokus utama Selangor dalam memperjuangkan AI dan beberapa sektor strategik lain bagi menjamin pembangunan mampan negeri,” katanya.

Menurut Amirudin, Dr Mubarak turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan rasa simpati atas tragedi letupan paip gas di Putra Heights, sambil mendoakan ketabahan kepada mangsa dan keluarga mereka dalam menghadapi dugaan.

Amirudin optimis bahawa kerjasama dua hala yang erat antara Selangor dan UAE berpotensi membuka lebih banyak peluang pelaburan serta pertukaran teknologi, yang akan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.

Related Articles

Back to top button