Nasional

MCMC arah Syarikat telekomunikasi segera tangani kualiti liputan di Ayer Kuning

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak pantas dalam menangani masalah liputan dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menerusi satu kenyataan, hari ini, MCMC berkata, langkah itu diambil susulan teguran Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berhubung isu internet yang tidak memuaskan di kawasan tersebut.

“Beberapa langkah proaktif telah diambil oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti yang diarahkan oleh MCMC bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan DUN Ayer Kuning dan lokasi tumpuan Pilihan Raya Kecil (PRK) berada pada tahap memuaskan.

“MCMC telah mengenal pasti lokasi utama seperti Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning, Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor,” katanya.

MCMC turut memaklumkan bahawa setakat pukul 6 petang semalam (Ahad), penyedia perkhidmatan seperti CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini kepada MCMC.

“Antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan,” tambah kenyataan itu.

Selain itu, MCMC membuka kaunter aduan di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang, Tapah, dari 12 hingga 26 April.

“Kaunter beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 9 malam. Kaunter ini bertujuan menerima aduan berkaitan telekomunikasi, pos, dan isu lain di bawah bidang kuasa MCMC,” katanya.

MCMC juga menegaskan bahawa prestasi liputan akan dipantau secara harian dan sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan akan dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai,” tegas kenyataan itu.

Kata Fahmi, sebelum ini Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) menetapkan kelajuan minimum internet pada tahap 7.5 megabait sesaat (Mbps), yang akan meningkat kepada 10Mbps dalam tempoh setahun.

Related Articles

Back to top button