“PM amat mempercayai kepada sistem perkhidmatan awam negara” – KSN

Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan sepenuh harapan beliau ke atas sistem perkhidmatan awam termasuklah dari sudut dasar polisi serta kualiti pimpinan negara ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkara itu terbukti benar sepanjang Anwar memegang tatakelola negara dengan beliau mempercayai kepelbagaian program yang dilaksana oleh para penjawat awam.
“PM amat mempercayai kepada sistem, jentera penjawat awam dalam melaksanakan dasar-dasar dan kualiti pimpinan yang mentadbir negara.
“Ini terbukti sepanjang dua tahun lima bulan, yang amat berhormat Perdana Menteri amat mempercayai penjawat awam untuk melaksanakaan dasar-dasar serta program-program,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut diminta mengulas mengenai 160 proses Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan katanya program terbabit berjaya dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif sehingga menjadi pemudah cara terhadap sesuatu urusan di peringkat pentadbiran kerajaan.
“Program 160 Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) ini berjaya kita laksanakan dan antara kejayaan yang kita dapat ialah, proses kelulusan sesuatu urusan berjaya kita pendekkan dari 3 bulan ke 11 bulan.
“Kita sasarkan sebanyak 200 proses kerja dapat dipendekkan tahun ini, selaras dengan Rang Undang-Undang Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025,” ujarnya.
Beliau berkata demikian seusai menjadi panel jemputan di dalam ‘Bicarawara Suara Anak MADANI 2025: Episod Raya sempena Program Rumah Terbuka MADANI: Meraikan Kebersamaan dan Pelancaran Rintis Suara Anak Muda MADANI 2025’ di Damansara, Petaling Jaya pada Isnin.
Untuk rekod, program ‘Bicawara Suara Anak Madani 2025’ merupakan sebuah program bual bicara berkonsepkan santai dan interaktif, Suara Anak Madani (SAM).
Secara rasminya ia dilancarkan menerusi episod pengenalan berjudul Warna Warni Aidilfitri bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025.
Acara yang berlangsung dalam suasana majlis rumah terbuka ini menggabungkan elemen hiburan, wacana semasa dan aspirasi kebersamaan dalam semangat Malaysia MADANI.
Turut mengacarakan rancangan ialah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, bersama personaliti TV Nadiah Anuar sebagai co-host. Acara diserikan dengan persembahan lagu raya oleh artis jemputan, tayangan video reaksi rakyat, serta interaksi secara langsung bersama penonton dan panel jemputan.