Tiada keputusan lagi, prosiding Syed Saddiq ditangguh 24 April ini

PUTRAJAYA: Pendengaran kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Rayuan dekat sini hari ini ditangguhkan lagi ke minggu hadapan.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Syed Saddiq di sidang media sebaik sahaja keluar daripada kamar perbicaraan kira-kira 2 petang tadi.
Prosiding yang dijalankan hari ini merupakan sambungan proses rayuan Syed Saddiq bagi mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat kes subahat, pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Pada 20 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding rayuan Syed Saddiq atas faktor kesihatan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Sebelum itu, pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman terhadap Syed Saddiq, selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang dalam penghakiman setebal 22 muka surat menolak pembelaan Syed Saddiq dan menyifatkan keterangannya sebagai ‘tidak masuk akal’.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Susulan keputusan berkenaan, bekas Ketua Armada Bersatu itu memfailkan rayuan dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya bagi mengetepikan hukuman serta dibebaskan daripada semua pertuduhan.