Rafizi Seru Perwakilan Undi Nurul Izzah

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dengan pendekatan santai dalam kempennya menyeru para perwakilan agar memberikan sokongan kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang turut bertanding bagi posisi berkenaan.
Rafizi berkata, kemenangan Nurul Izzah itu akan mengelak sebarang persepsi negatif terhadap Presiden PKR dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika Nurul Izzah kalah, apa mesej kepada rakyat? Anggota PKR menolak Anwar Ibrahim.
“Jadi, oleh sebab itu Nurul Izzah mesti menang. Apa pilihan yang kita ada?
“Kempen saya mudah sahaja, undi Nurul Izzah. Kita tidak boleh menerima keputusan lain…kerana jika Nurul Izzah kalah, itu bermakna Anwar ditolak,” katanya dalam siri jelajah HIRUK.
Dalam pada itu, Rafizi turut mengingatkan penyokong Nurul Izzah agar berhati-hati dalam mempertahankan calon pilihan mereka khususnya berkaitan isu nepotisme.
Untuk rekod, Rafizi dan Nurul Izzah bakal bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kepimpinan pusat parti yang akan berlangsung minggu depan.
Sebelum ini, Rafizi merupakan penyandang kerusi tersebut manakala Nurul Izzah memegang jawatan sebagai Naib Presiden PKR.
Mengulas pemilihan parti terdahulu, Rafizi berkata, suasana ketika itu lebih tenang dan harmoni, namun sedikit berubah selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Presiden (Anwar) dah pernah kata dalam Biro Politik dan MPP (jawatan) nombor satu dan dua tak payah tanding la.
“Kita nak kekalkan ketenangan ini. Benda tu semua dah tahu,” katanya.