Lawatan rasmi PM: Malaysia jadi tumpunan kuasa besar dunia

PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Moscow atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin menandakan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena geopolitik dunia.
Menurut penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, undangan rasmi ke Rusia bukan sesuatu yang mudah diperoleh, malah menjadikan kunjungan itu sebagai penghormatan luar biasa terhadap Malaysia.
“Pelawatan Perdana Menteri Malaysia ke Rusia juga disambut meriah oleh Presiden Vladimir Putin yang mesra serta akrab, malah bukan mudah bagi mana-mana negara mendapat peluang undangan ke Kremlin (Rusia) ketika suasana politik dunia tidak menentu,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika dihubungi.
Dr Tawfik berkata, kejayaan Malaysia dalam mendapatkan jemputan sebegini berpunca daripada kepimpinan yang bijaksana dalam mengembangkan hubungan diplomatik serta meneroka peluang perdagangan baharu.
“Ini bagi memastikan negara dan rakyat Malaysia mendapat manfaat yang begitu besar.
“Saya melihat Malaysia telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan menjadi ‘role model’ kepada negara anggota ASEAN agar mampu menjadi sebuah organisasi yang amat dihormati dan disegani di peringkat dunia,” katanya.
Di sebalik tekanan dari Barat, katanya, lawatan Perdana Menteri jelas membuktikan Malaysia tidak tunduk kepada ketidaktentuan global, termasuk dasar tarif tinggi oleh Amerika Syarikat (AS).
“Lawatan Datuk Seri Anwar ini jelas membuktikan bahawa negara tidak gentar, apatah lagi tunduk terhadap sebarang tindakan yang cuba menekan,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia terus berhati-hati dalam menguruskan hubungan antarabangsa, berunding dengan strategik serta giat meneroka pasaran baharu khususnya di Timur seperti China dan Rusia.
“Pendekatan ini menzahirkan kecekalan Malaysia untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada mana-mana kuasa, sekali gus menolak sebarang bentuk ancaman ekonomi,” katanya.