PRIME: Perkukuh infrastruktur komunikasi negara ketika bencana

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkukuh infrastruktur komunikasi negara ketika kecemasan dan bencana, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memperkenalkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME).
Ia sebuah kenderaan bergerak berteknologi tinggi yang menelan belanja RM1 juta seunit.
“MCMC bangunkan PRIME menelan belanja RM1 juta seunit,” kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, semasa pelancaran rasmi inisiatif itu, hari ini.
Menurut beliau, ia direka untuk memastikan komunikasi kekal lancar walaupun dalam situasi terputus hubungan, PRIME dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron.
Tambah Fahmi, ia dijangka menjadi tulang belakang komunikasi ketika banjir, tanah runtuh atau kejadian luar jangka lain terutamanya di kawasan pedalaman.
Setakat ini, katanya, tiga unit sedang dibangunkan, di mana satu unit telah mula digunakan di Semenanjung, manakala dua lagi bakal ditempatkan di Sabah dan Sarawak menjelang suku keempat tahun ini.
PRIME turut akan menyokong program jangkauan maklumat seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), sekali gus memperluaskan akses digital di luar bandar.