ASEAN 2025: Malaysia cadang wujud kit ASEAN bagi tangani ancaman keselamatan dalam talian

ASEAN 2025: Malaysia cadang wujud kit ASEAN bagi tangani ancaman keselamatan dalam talian
TOKYO: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memulakan inisiatif penubuhan Kit ASEAN untuk Keselamatan Dalam Talian bagi membantu negara anggota menangani cabaran keselamatan digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata usaha ini bertujuan mengumpul sumber praktikal dan amalan terbaik bagi memperkukuh keselamatan dalam talian di rantau Asia Tenggara.
“Kerjasama dan saling percaya antara negara anggota adalah kunci untuk membina persekitaran digital yang selamat, inklusif dan dipercayai,” kata Fahmi pada Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) 2025 di Tokyo.
Malaysia juga mengetuai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab, yang disahkan pada Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (AMRI) ke-17.
Deklarasi itu akan diterima pakai secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini dan memperkukuh usaha kolektif ASEAN dalam mempromosikan tingkah laku bertanggungjawab dalam talian.
“Cabaran keselamatan siber semakin kompleks dan memerlukan usaha bersama untuk memastikan tiada warga ASEAN tercicir dalam era digital,” tambahnya.
Melalui inisiatif ini, Malaysia berharap ASEAN dapat membina persekitaran digital yang lebih selamat dan berdaya tahan sejajar dengan Visi Komuniti ASEAN 2045.