Mahkamah Tinggi tolak permohonan semak lapan soalan PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonannya untuk menyemak semula serta merujuk lapan persoalan berkait perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Anwar dalam satu hantaran di Facebook, keputusan itu bukan soal mencari kekebalan peribadi atau mengelak daripada semakan undang-undang.
Sebalik, katanya, ia menyentuh aspek integriti sistem perlembagaan negara dan kepentingan melindungi jawatan awam tertinggi daripada tindakan undang-undang yang mungkin bermotif politik atau menggugat kestabilan institusi.
“Sebaliknya ia menyentuh soal integriti Sistem Perlembagaan Negara dan keperluan untuk memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada tindakan undang-undang yang mungkin disusun secara strategik, bermotif politik atau menggugat kestabilan institusi,” katanya.
Anwar turut menzahirkan komitmennya terhadap kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah sistem pemerintahan demokrasi.
“Proses undang-undang akan diteruskan dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa sebarang gangguan atau kompromi,” katanya.
Susulan keputusan itu, beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Peguam, Datuk Seri K. Raja Segaran yang mewakili Anwar berkata, rayuan itu dibuat berdasarkan Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Terdahulu, Anwar telah memfailkan permohonan pada 23 Mei lalu untuk meminta Mahkamah Tinggi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.
Antara persoalan utama yang dikemukakan ialah sama ada, di bawah Artikel 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, di mana seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat menikmati kekebalan terhad daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan salah laku peribadi sebelum pelantikannya.