Tak salah PM Anwar mohon semak semula lapan soalan – Peguam

PETALING JAYA: Permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak semula serta merujuk lapan persoalan berkait perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak salah.
Peguam, Dr Zulqarnain Luqman berkata isu yang dibangkitkan Anwar adalah isu besar kerana ianya melibatkan Perlembagaan.
“Isu Perlembagaan tidak wajar ditolak mentah-mentah oleh Mahkamah semata-mata untuk mempercepatkan proses perbicaraan.
“Isu berkaitan dengan kekebalan (immunity) ini pernah diputuskan dalam kes Mohamad Najib Tun Haji Abdul Razak v Thomas Thomas @ Mohan K Thomas & Anor.
“Dalam kes ini Najib telah menyaman Tommy Thomas antara lain menuduh Tommy telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Peguam Negara untuk melancarkan beberapa pertuduhan ke atasnya bagi tujuan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dr Zulqarnain menambah tindakan strategik peguam Anwar itu selari dengan tanggungjawab yang dipikul oleh Anwar sendiri.
“Terdapat lapan isu yang ingin dirujukkan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Peguam Negara dalam satu kenyataan media bertarikh 31.5.2025.
“Antara lainnya adalah, sama ada tindakan sivil berkaitan perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan sekiranya ia menjejaskan keupayaan Perdana Menteri untuk mentadbir. Peguam Negara juga menyatakan ia adalah soalan struktur mengenai tadbir urus Perlembagaan dan bukan mengenai kekebalan peribadi.
“Sebagai peguam, kita dikehendaki untuk menjaga kepentingan anak guam. Selagi ada proses yang boleh digunakan maka peguam tersebut harus membentangkan kepada anak guam dan anak guam akan membuat pilihan sama ada ingin membuat permohonan sedemikian,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa hak bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther juga tidak dinafikan kerana hak Yusof adalah untuk didengar.
“Namun, bilakah hak Yusof itu boleh didengar bukanlah menjadi satu isu kerana Mahkamah perlu menyelesaikan dahulu apa-apa perkara yang berbangkit. Setelah isu berbangkit selesai maka Yusof akan diberikan peluang untuk didengar.
“Isunya dalam kes Yusof vs Anwar ini adakah Anwar juga memperolehi kekebalan yang sama? Per. 145(3) itu tidak menyatakan Pendakwa Raya itu kebal tetapi Mahkamah mengendorskan bahawa Pendakwa Raya itu kebal ketika menjalankan tugasnya.
“Tugas yang dijalankan oleh Anwar sekarang selaku Perdana Menteri adalah tugas yang disebut dalam Perlembagaan sama seperti tugas Peguam Negara. Maka, ada kewajaran diputuskan sama ada seorang Perdana Menteri itu kebal sama seperti seorang Peguam Negara.
“Jika Perdana Menteri itu kebal, setakat manakah kekebalan itu diberikan? Adakah termasuk kekebalan itu terhadap kesalahan tort atau termasuk juga kesalahan kontrak? Adakah kekebalan itu meliputi kausa tindakan tort yang berlaku sewaktu dia belum memegang jawatan Perdana Menteri atau terhad kepada tindakannya semasa menjadi Perdana Menteri,” soalnya lagi.
Terdahulu, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu kekebalan daripada tindakan saman yang difailkan bekas pembantu penyelidiknya.
Dua minggu lalu, Anwar memfailkan agar mahkamah tertinggi negara memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.