Kerajaan Peruntuk RM30 Juta Bantu Media Laksana Transformasi Digital

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menyokong organisasi media tempatan melaksanakan transformasi digital dan mengadaptasi teknologi baharu dalam penghasilan kandungan.
Pengumuman itu dibuat semasa beliau merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Menurut beliau, butiran lanjut mengenai peruntukan tersebut akan dikemukakan dalam masa terdekat.
Anwar menjelaskan bahawa dana ini merupakan yang terbesar pernah disediakan oleh kerajaan khusus untuk sektor media.

“Saya bersetuju memberikan peruntukan lebih besar bagi membantu organisasi media negara sebagai langkah permulaan. Ia bertujuan memacu transformasi digital dengan sokongan dana kerajaan, termasuk latihan dan pendedahan kepada para wartawan, khususnya golongan muda,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan agar profesion kewartawanan tidak ketinggalan dalam era perubahan pesat akibat kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI), selain mengekalkan keseimbangan antara penggunaan AI dan pematuhan kepada etika kewartawanan.