Kerajaan salurkan RM4 Juta Perkasa Suara Belia

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkukuh peranan belia sebagai pemacu pembangunan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM4 juta kepada Majlis Belia Malaysia.
Ia sekali gus menegaskan kepentingan suara generasi muda dalam mencorak hala tuju negara.
Anwar berkata demikian ketika berucap di Sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Kebangsaan malam tadi.
“Saya maklumkan bahawa suara anak muds dan golongan belia wajar terus didengari, dihormati dan diangkat sebagai suara penting dalam mencorak hala tuju negara,” katanya.
Beliau berkata, semangat dan daya juang belia di Malaysia dianggap sebagai ‘catalyst’ perubahan ke arah masa depan negara yang lebih cemerlang.
“Kekuatan sesebuah negara bergantung kepada potensi, idealisme dan daya juang anak mudanya,” ujarnya.
Bagi memastikan suara belia diberi tempat sewajarnya, kerajaan komited membuka ruang lebih luas untuk penglibatan golongan ini dalam proses penggubalan dasar dan pembangunan negara.
Beliau menyeru agar semua pihak menyemarakkan semangat menyantuni suara belia dan membuka jalan kepada mereka untuk terus menyumbang kepada tanah air tercinta.