Uncategorized

PM Anwar bukan pemimpin autoritarian, tapi bawa visi reformasi – Yusmadi Yusoff

KUALA LUMPUR: Perjuangan Reformasi yang digerakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih dua dekad lalu bukan sekadar gerakan politik, sebaliknya berteraskan nilai keadilan dan keamanan yang kekal relevan hingga hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Yusoff berkata demikian ketika melancarkan bukunya bertajuk Anwar Ibrahim Global Justice and Peace Through Dialogue sempena sesi khas Global Leadership & Dialogue Initiative (GLDI) KL 2025.

“Bagi saya, ia mesti berkaitan dengan keadilan. Ia mesti berkaitan dengan sesuatu yang besar seperti keamanan.

“Ia tidak boleh berlaku jika Reformasi merupakan sekadar satu program atau acara semata-mata. Kalau begitu, ia sudah lama tamat,” katanya.

Buku setebal 168 muka surat itu menghimpunkan catatan peribadi Yusmadi yang mengikuti perjalanan politik Anwar sejak lebih 25 tahun lalu.

Ianya termasuk pengalaman melawat beliau di penjara, menghadiri perbicaraan serta mengikuti kuliah bersama Anwar yang kini Profesor di Universiti Georgetown.

“Saya tahu sejauh mana beliau membawa perjuangan ini, bukan dengan kekerasan, tetapi dengan pendidikan dan kefahaman,” katanya.

Tambahnya lagi, idea menghasilkan buku itu tercetus selepas diminta menyumbang teks ucapan untuk pelancaran Program Kepimpinan Islam dan Konfusius pada November 2023, yang menyedarkan beliau mengenai keunikan pendekatan kepimpinan Anwar.

“Anwar bukan pemimpin autoritarian. Beliau bawa visi melalui program, dialog dan pendidikan. Beliau ajar anak muda faham, bukan takut,” tegasnya.

Yusmadi yang juga Pengerusi Yayasan RIGHT berkata, buku itu ditulis dalam gaya mudah dan bersifat penceritaan, dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada generasi muda dan pemimpin masa depan negara.

“Dari Cherok Tok Kun ke New York, dari Georgetown ke Beijing, saya percaya, kepimpinan ini boleh sentuh hati dan minda Malaysia serta dunia,” katanya lagi.

Majlis pelancaran buku itu turut dihadiri Presiden Timor-Leste H.E. Jose Ramos Horta dan Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Related Articles

Back to top button