Rakyat wajar sabar, dapatkan maklumat tepat tentang SST – Penganalisis

PETALING JAYA: Pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) memerlukan masa untuk memperlihatkan kesan sebenar terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, orang ramai disaran untuk terus bersabar serta mendapatkan maklumat yang tepat mengenai dasar itu.
“Rakyat perlu bersabar dan yang penting dapatkan maklumat yang tepat berkenaan SST,” katanya.
Menurut beliau, setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan memiliki objektif tersendiri dengan impak yang berbeza dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Dalam tempoh terdekat, katanya, kenaikan cukai lazimnya akan menyebabkan peningkatan harga khususnya bagi barangan dan perkhidmatan yang secara langsung terkesan dengan perubahan tersebut.
Namun, Dr Afzanizam berkata, dalam jangka sederhana, langkah itu dijangka dapat memperkukuh ruang fiskal kerajaan bagi melaksanakan perbelanjaan bersasar, sekali gus memberi manfaat terus kepada rakyat melalui bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Manakala dalam jangka panjang, beliau berkata, penambahbaikan kedudukan fiskal negara dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan strategik dalam sektor utama seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan keselamatan.
Terdahulu, kadar Cukai Perkhidmatan telah dinaikkan daripada 6 peratus kepada 8 peratus berkuat kuasa 1 Mac 2024.
Langkah itu menyumbang kepada peningkatan kutipan cukai SST sebanyak 30.3 peratus pada suku pertama tahun 2025.
Di mana, kutipan tambahan tersebut membolehkan kerajaan menambah peruntukan untuk pelbagai bentuk bantuan termasuk STR dan SARA serta pelbagai bantuan lain demi menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.