Uncategorized

NAS 2025 buat negara kurang bergantung teknologi luar – MCMC

PETALING JAYA: Persidangan Alamat Nasional 2025 yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menjadi langkah awal ke arah pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) secara menyeluruh.

Persidangan selama dua hari anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini menghimpunkan lebih 500 peserta daripada sektor kerajaan, industri, akademia dan orang awam.

NAS bakal menjadi platform penting dalam membangunkan dasar dan tadbir urus pengalamatan negara yang lebih sistematik, efisien sejajar dengan amalan terbaik global.

Malaysia kini mempunyai lebih 12 juta alamat, namun ketiadaan pangkalan data nasional yang seragam menjejaskan pelbagai aspek seperti penghantaran, tindak balas kecemasan dan perancangan dasar.

Melalui NAS, negara dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar serta menyokong pembangunan bandar pintar dan sistem pintar lain termasuk pengangkutan dan pengurusan tenaga.

Selain sesi panel dan pembentangan teknikal, persidangan ini turut menampilkan pameran interaktif dan sesi jaringan antara agensi untuk merangka penyelesaian inovatif berkaitan pengurusan alamat.

“Pelaksanaan NAS bakal memacu ekonomi digital dan memperkukuh sektor seperti e-dagang, logistik dan perkhidmatan kurier melalui penggunaan alamat dan koordinat yang tepat,” jelas MCMC dalam satu kenyataan.

Sistem ini dijangka memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutamanya dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan penghantaran dan mengurangkan risiko kesilapan.

Related Articles

Back to top button