Nasional

Ulasan | REFORMASI: Bukan Nasi Basi, Tapi Lauk Baru Tak Kena Selera 100 Tahun Mahathir

Oleh: Ahmad Yusry

ULASAN | TUN Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri yang paling lama mentadbir negara dan mungkin juga paling lama menyimpan dendam sekali lagi muncul dengan tulisan menyindir bertajuk “REFORMASI (Nasi Basi)” di blog peribadinya.

Dalam usia 100 tahun, ketika ramai seusia sibuk kumpul pahala untuk akhirat, beliau masih rancak mencurah curiga terhadap usaha membaiki negara yang pernah berada di bawah tangan beliau sendiri dan yang ditinggalkan dalam keadaan hampir ranap.

Tapi soalnya, betul ke REFORMASI hari ini hanyalah “nasi basi”? Atau sebenarnya lauk baru ni terlalu fresh sampai tak serasi dengan tekak politik yang dah terlalu lama selesa dengan kuasa?

Dua Abad Pegang Senduk, Masih Nak Tunjuk Ajar Masak Nasi?

Tak ramai orang boleh cakap dia pernah jadi Perdana Menteri dalam dua abad berbeza. Tun Mahathir boleh. Dua kali diberi peluang pegang kuasa. Dan dua kali jugalah negara terjerumus dalam kecelaruan. Kali pertama lepas beliau berundur, sistem kehakiman lumpuh. Kali kedua, kerajaan tumbang dek permainan politik belakang tabir.

Yang peliknya, hari ini beliau bukan tampil sebagai penasihat penuh hikmah, tapi lebih kepada pengulas sinis yang tak puas hati tengok dapur negara mula bersih dari resipi lapuk dulu.

“REFORMASI” yang beliau kutuk hari ini adalah resipi yang beliau sendiri dulu tak sempat, atau tak mahu masak. Yang rakyat sedang rasa sekarang, walaupun belum cukup garam dan lada, sekurang-kurangnya bukan lauk basi tinggalan zaman silam.

Ketua Hakim Bersara Elok-elok, Tak Kena Pancung Macam Zaman Dulu

Tun persoalkan kenapa kerusi Ketua Hakim Negara kosong. Kononnya sistem kehakiman jadi longgar. Tapi sejarah tak lupa tahun 1988, semasa beliau berkuasa penuh, Tun Salleh Abas dipecat tanpa belas, hanya kerana tak “sebulu” dengan kerajaan. Hakim-hakim lain pun turut kena.

Hari ini, proses pelantikan melalui JAC. Ketua Hakim bersara ikut prosedur. Takde campur tangan politik. Tapi bila sistem tak lagi ikut rentak lama, ada yang mula resah.

Zaman Dulu Bocor Maklumat Kena ISA, Sekarang Boleh Saman Balik

Tun sinis pasal siasatan terhadap dokumen bocor. Tapi jangan lupa, zaman dia dulu, siapa dedah maklumat, silap hari bulan hilang terus dari radar. Wartawan kena cekup, media kena tekan, rakyat bisu.

Sekarang ni, bocor pun ada proses. Kalau sahih ada tindakan. Kalau tak boleh bela diri di mahkamah. Tapi mungkin sebab tak dapat kontrol naratif macam dulu, maka semua nampak salah di mata beliau.

“Jangan Politikan” — Tapi Siapa Sebenarnya Raja Politiking?

Tun kata jangan politikkan isu MAHB, 3R, mahkamah, pelantikan hakim. Tapi sejarah pun tahu, siapa yang dulu politikkan institusi dari GLC sampai ke pendidikan, dari istana sampai ke jalan raya.

Zaman beliau, banyak benda dikawal ikut selera sendiri. Sekarang bila sistem mula dibetulkan, bila ketelusan mula ditegakkan, mereka yang dulu selesa dengan gelap gelita mula rasa silau dengan cahaya.

Zaman Dulu PM Tak Boleh Tegur, Sekarang Bekas PM Bebas Hentam Hari-Hari

Ironinya, hari ni Tun bebas tulis blog kritik Perdana Menteri, agensi kerajaan, dasar negara dan tak ada siapa pun usik dia. Tapi zaman dia dulu, tegur sikit, boleh hilang kerja, masuk lokap, atau terus lenyap dari media.

REFORMASI bukan retorik. Ia realiti baru. Rakyat boleh bersuara. Tokoh politik pun sama. Tapi mungkin yang dulu terbiasa dengan kuasa mutlak kini tak selesa bila dunia tak lagi tunduk pada arahan dia.

Katanya Ada Tahanan Tanpa Sebab Tapi Sekarang Semua Boleh Dicabar

Tun dakwa konon kerajaan rampas harta, tahan orang sesuka hati. Tapi zaman sekarang, semua ada proses mahkamah, peguam, media pun boleh pantau. Tak macam dulu, tahan ikut suka, tanpa bicara.

Kalau betul kerajaan salah, rakyat boleh cabar di mahkamah. Tapi bila mahkamah tak ikut kehendak politikus veteran, terus dituduh tak adil. Bila tak dapat kawal sistem macam dulu, mula gelar semua orang “zalim”.

REFORMASI Tak Perlukan Restu Tokoh Lama Tak Mahu Berubah

REFORMASI bukan untuk puaskan hati mana-mana bekas PM. Ia bukan tentang dendam. Ia tentang membina semula negara yang dah lama rosak dek amalan kronisme, nepotisme dan politik takut bayang sendiri.

Kalau dulu jawatan penting boleh turun pada anak, sekarang semuanya kena lalui proses. Kalau dulu tender diberi sesuka hati, hari ni kena lalui tapisan, audit, PAC. Sebab itu bukan lagi zaman ‘aku cakap, kau ikut’.

Umur Panjang Itu Rezeki, Tapi Jangan Sampai Jadi Ujian

Seratus tahun bukan umur biasa. Tapi umur panjang sepatutnya dimanfaatkan untuk berdamai dengan sejarah, bukan terus menebuk luka lama. Menyatukan rakyat, bukan terus pecahkan.

Malangnya, sejarah mungkin akan tulis: Tun Mahathir diberi masa lebih panjang daripada mana-mana pemimpin lain, tapi memilih untuk terus bergaduh sampai jadi bayang-bayang yang mengganggu pentas yang sudah bukan miliknya.

Nasi Masih Panas, Tapi Yang Dah Kenyang Dulu Tak Boleh Ceduk Lagi

REFORMASI bukan nasi basi. Ia nasi baru yang sedang dimasak sama-sama lauknya bersih, senduknya dikongsi, dan makannya sama rata. Bukan lagi untuk kroni. Bukan lagi untuk yang dah kenyang dulu.

Tun, nasi ni bukan untuk tokoh lama rasa sorang-sorang. Ini hidangan rakyat. Dan rakyat hari ni dah celik rasa. Mereka tahu apa lauk basi. Dan mereka tak mahu lagi dijamu dengan lebihan dari dapur lama.

Penulis ialah seorang Gen Z — tak sempat angkat sepanduk REFORMASI zaman dulu, tapi sempat rasa beban dasar-dasar lama. Tak terhutang budi, jadi bebas menulis. Tak menjilat, tapi tak rela diam.

Related Articles

Back to top button