154 Ketua UMNO Pertahan Najib, Tapi Sunyi Tentang Jho Low?

KUALA LUMPUR: Ketika 154 Ketua UMNO Bahagian bersatu suara mendesak pelaksanaan ‘Titah Adendum’ bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman di rumah, satu persoalan besar terus berlegar, mengapa tiada seorang pun bersuara tentang dalang sebenar skandal 1MDB, iaitu Low Taek Jho atau Jho Low?
Skandal 1MDB bukan sekadar episod politik, ia adalah tragedi kewangan terbesar negara yang melibatkan penyelewengan lebih RM19 bilion dana awam.
Jho Low, individu yang dikaitkan sebagai arkitek utama penipuan ini, telah lama menghilang tetapi kini muncul semula dalam laporan penyiasatan antarabangsa.
Menurut wartawan penyiasat Bradley Hope dan Tom Wright, Jho Low kini menetap di kawasan elit Green Hills, Shanghai menggunakan nama Greek Constantinos Achilles Veis dan pasport palsu Australia.
Beliau didakwa berperanan sebagai pakar strategik belakang tabir untuk kerajaan China bagi membantu syarikat yang dikenakan sekatan antarabangsa.
Walaupun telah dikeluarkan Notis Merah Interpol sejak 2018, tiada tindakan konkrit atau tekanan politik besar untuk membawa beliau pulang.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengakui bahawa ada pihak yang tidak senang jika Jho Low dibawa pulang kerana ia mungkin akan mendedahkan lebih banyak perkara tersembunyi.
Dalam sidang media sebelum ini, para Ketua UMNO tampil dengan baju seragam dan kenyataan penuh semangat mempertahankan Najib, di mana seorang yang telah melalui proses perbicaraan dan dijatuhi hukuman.
Namun, apabila menyentuh soal Jho Low, tiada sepanduk, tiada resolusi dan tiada desakan ekstradisi.
Bukankah jika benar Najib dizalimi, maka menangkap Jho Low adalah langkah paling logik untuk membuktikan konspirasi?
Bukankah lebih patriotik untuk mendesak kerajaan China atau negara terbabit agar menyerahkan individu yang mencemarkan nama Malaysia?
Rakyat Malaysia masih menanggung kesan ekonomi akibat skandal itu, di mana subsidi dikurangkan, cukai dinaikkan dan hutang negara terus membengkak.
Namun, suara-suara pemimpin UMNO bahagian lebih lantang membela seorang individu daripada menuntut keadilan untuk jutaan rakyat yang dikhianati.
Mungkin kerana mereka tahu jika Jho Low ditangkap, lebih banyak nama akan tercemar.
Maka lebih mudah untuk berdiam diri dan teruskan naratif simpati terhadap ‘bossku’.
Kini, rakyat menanti, adakah keberanian 154 Ketua UMNO itu hanya terbatas kepada sidang media mempertahankan Najib? Atau adakah mereka juga berani bangkit menuntut Jho Low dikembalikan ke Malaysia, agar seluruh kebenaran dapat disingkap?
Kerana jika benar mahu membersihkan nama, maka yang bersalah mesti dibawa pulang.