Tokoh Ulama Kelantan Selar Tindakan Guling Kerajaan, Tegas Perubahan Kuasa Perlu Ikut Saluran Sah

PUTRAJAYA, 20 Julai 2025 — Seorang tokoh ulama tersohor dari Kelantan, Tuan Guru Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah, menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan pihak tertentu yang cuba menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan. Beliau menegaskan bahawa dalam Islam, sebarang perubahan kuasa perlu dilakukan secara sah dan berperlembagaan, bukan melalui hasutan yang boleh mengganggu keharmonian rakyat.
“Dalam Islam, perubahan kuasa perlu melalui proses yang sah. Bukan dengan demonstrasi jalanan atau hasutan yang boleh mengganggu keharmonian rakyat,” katanya dalam satu majlis ilmu di Masjid Putra, Putrajaya.
Beliau berkata sedemikian ketika menjelang perhimpunan “Turun Anwar” yang dirancang oleh Perikatan Nasional (PN) pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur, kononnya untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur.
Penganjur mendakwa akan menghimpunkan sehingga 300,000 peserta, meskipun demonstrasi serupa sebelum ini di Shah Alam hanya menarik lebih 300 orang.
Sheikh Wazir, yang juga penasihat kepada Kesatuan Pondok Kelantan dan Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, menyuarakan kebimbangan terhadap kesan perubahan dasar secara mendadak akibat pertukaran kerajaan yang kerap.
“Kerap sangat tukar kerajaan ini, dasar pun berubah-ubah. Ia lemahkan sistem pendidikan pondok dan ganggu ekonomi. Ini tidak selari dengan nilai Islam,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan kestabilan politik bagi menjamin kelangsungan pendidikan Islam, termasuk institusi pondok yang banyak bergantung kepada dasar sokongan kerajaan.
Ilmu, Akhlak dan Adab Ulama
Dalam pandangan berasingan, Sheikh Wazir juga pernah menekankan keperluan mendalam dalam menimba ilmu serta berpegang kepada adab dan nasihat guru sebelum tampil sebagai pendakwah. Dalam satu wawancara bersama Mingguan Malaysia sebelum ini, beliau menyatakan bahawa kewibawaan seorang ulama bukan hanya diukur melalui hafalan kitab, tetapi juga kefahaman mendalam terhadap realiti kehidupan.
“Perlu arif dalam pelbagai hal ehwal ilmu duniawi dan ukhrawi,” katanya, sambil mengimbau nasihat gurunya, al-Allamah Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, pengarang Penawar Bagi Hati.
Seruan Kestabilan
Sheikh Wazir turut menyuarakan sokongan supaya kerajaan perpaduan kekal sehingga tamat penggal bagi menjamin kelangsungan dasar dan kestabilan politik negara.
“Semoga kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar dipelihara. Insya-Allah segala cabaran boleh diatasi jika kita bersatu dan sabar,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menggesa mereka yang mahu mengambil alih tampuk pemerintahan supaya mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat, bukannya menghasut rakyat di jalanan. Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, turut menyokong pandangan tersebut dengan menekankan perlunya kestabilan politik dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.