6 NGO Tolak Cubaan Tukar Kerajaan Secara Tak Demokratik, Lalu Pintu Belakang

KUALA LUMPUR: Enam pertubuhan masyarakat sivil (CSO) terkemuka hari ini menegaskan bahawa tumpuan utama negara seharusnya diberikan kepada reformasi institusi yang menyeluruh dan bukannya memperhebatkan ketidakstabilan politik yang berterusan.
Dalam kenyataan media bersama, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Projek Sama, Pusat KOMAS dan Transparency International Malaysia menolak sebarang cubaan menukar kerajaan secara tidak demokratik atau melalui “pintu belakang”, seperti yang pernah berlaku dalam insiden Langkah Sheraton.
Pendirian itu dinyatakan sebagai respons kepada kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang mendakwa bahawa pertemuannya dengan beberapa NGO pada 1 Julai lalu menjadi sebahagian daripada asas kepada perhimpunan “Turun Anwar” yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai.
“Kami tegaskan bahawa pertemuan pada 1 Julai itu adalah atas jemputan dan tanpa agenda khusus.
“Ia merupakan peluang untuk kami menyerahkan cadangan reformasi institusi kepada pihak pembangkang, khususnya Ketua Pembangkang, untuk dipertimbangkan secara serius,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan NGO itu menyatakan bahawa reformasi institusi tidak boleh dilakukan secara sepihak.
Ia memerlukan kerjasama merentas parti sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, termasuk negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional.
“Pengalaman politik negara sejak 2018 pertukaran kerajaan, ketidakstabilan Perdana Menteri dan MoU antara kerajaan dan pembangkang mengajar kita bahawa hanya reformasi dwipartisan mampu membawa kestabilan dan kemajuan,” katanya.
Ketidakstabilan Politik Jejas Usaha Reformasi
Mereka turut menyuarakan kebimbangan bahawa sebarang ketidaktentuan politik akan membunuh usaha reformasi, malah berisiko mengulangi kemelut yang berlaku sewaktu pandemik COVID-19.
“Reformasi institusi adalah pelaburan jangka panjang untuk semua parti. Tiada parti yang akan memerintah selama-lamanya, justeru institusi yang kuat adalah jaminan keadilan apabila kuasa bertukar tangan,” tegas kenyataan itu lagi.
Dalam masa yang sama, NGO terbabit menyeru agar pihak pembangkang memainkan peranan konstruktif dalam memastikan kerajaan terus dipertanggungjawabkan kepada rakyat, dan bukannya menyuburkan budaya politik tidak matang.
“Malaysia mampu menjadi contoh di peringkat antarabangsa, tetapi ia hanya boleh berlaku apabila nilai hak asasi manusia, ketelusan dan integriti ditegakkan sepenuhnya.”
Keenam-enam NGO itu mengulangi komitmen mereka untuk terus menuntut reformasi institusi sebagai suara semak dan imbang yang mewakili kepentingan rakyat, tanpa berpihak kepada mana-mana gabungan politik.
Baca juga: