Uncategorized

Himpunan Turun Anwar,bukti pembangkang sudah ketandusan idea tawar solusi buat kebajikan rakyat – Kamil Munim

PETALING JAYA: Himpunan ‘Turun Anwar’ yang dijadual berlangsung Sabtu ini disifatkan sebagai bukti ketandusan idea Perikatan Nasional (PN) dalam menawarkan penyelesaian atau alternatif jelas terhadap tuduhan kononnya kerajaan gagal mengurus ekonomi negara.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata angka semasa dan laporan rasmi menunjukkan ekonomi negara sedang pulih dan berkembang secara konsisten, sekali gus menolak dakwaan tidak berasas yang dilemparkan pembangkang.

“Pertumbuhan, inflasi, kadar pengangguran dan pelaburan langsung tidak diendahkan semata-mata kerana rasa benci dan haloba. Ini bukti jelas kegagalan mereka dalam berhujah dan mengemukakan cadangan bernas terhadap dasar-dasar baik yang sedang dilaksanakan kerajaan,” katanya menerusi ciapan di platform X, semalam.

Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut membidas pembangkang yang dilihat hanya menghasut rakyat tanpa sebarang hala tuju yang jelas, meskipun kepimpinan negara sedang giat melaksanakan pelbagai usaha pemulihan ekonomi.

“Sehingga kini, mereka masih gagal menamakan individu yang boleh diketengahkan sebagai calon pengganti kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan MADANI sentiasa menjunjung prinsip kebebasan bersuara termasuk hak berhimpun secara aman, selaras dengan jaminan Perdana Menteri bahawa tiada intimidasi daripada pihak berkuasa terhadap mana-mana perhimpunan awam” katanya.

Namun katanya lagi, demonstrasi yang berpaksikan kebencian terhadap peribadi Anwar semata-mata membuktikan kelemahan politik pembangkang dalam memahami dan memenuhi keperluan rakyat masa kini.

“Demonstrasi seperti ini hanya menunjukkan betapa dangkal, longlai dan lemahnya pendekatan mereka berbanding ketangkasan kerajaan menterjemah aspirasi rakyat,” tegasnya.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button