Nasional

Ramai Hadir Himpunan ‘Turun Anwar’, Tapi Tak Jelas Apa Tujuan Datang Libat Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Himpunan pembangkang ‘Turun Anwar’ yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini menyaksikan kehadiran ribuan peserta, namun sebahagiannya dilihat tidak begitu jelas tentang tujuan sebenar perhimpunan berkenaan diadakan.

Tinjauan Media Madani di sekitar LRT Masjid Jamek dan kawasan berhampiran mendapati ramai peserta yang hanya mengikuti pergerakan kumpulan tanpa mengetahui secara mendalam objektif utama penganjuran.

“Saya ikut kawan datang, dia kata ada himpunan pasal isu rakyat. Tapi saya tak pasti sangat apa matlamat sebenar hari ini,” kata seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz, 22.

Keadaan ini dipercayai berpunca daripada ketiadaan pentas utama yang kebiasaannya digunakan untuk menyampaikan ucapan atau mesej perhimpunan. Ini susulan tindakan pihak berkuasa yang tidak membenarkan sebarang struktur pentas didirikan di lokasi terbabit.

Difahamkan, larangan berkenaan dibuat atas faktor keselamatan dan peraturan pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, suasana perhimpunan kekal terkawal dengan kehadiran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memantau dari awal pagi.

Beberapa peserta turut menyatakan kekeliruan apabila lokasi sebenar perhimpunan dilihat berubah-ubah dan tiada ucapan utama disampaikan.

“Saya sangka ada pemimpin akan beri ucapan atau penjelasan. Tapi sampai sekarang tak nampak siapa yang urus atau pimpin,” kata seorang lagi peserta.

Sebelum ini, penganjur memaklumkan himpunan akan bergerak dari lima lokasi utama termasuk Masjid Negara, Masjid Jamek, dan Pasar Seni sebelum menuju ke Dataran Merdeka.

Walaupun perhimpunan berlangsung secara aman, ketiadaan struktur penganjuran yang jelas menyebabkan sebahagian peserta sekadar berkumpul tanpa hala tuju tertentu.

Baca lagi

Related Articles

Back to top button