Politik

Dari Zaman Tunku, Mahathir Tidak Putus-Putus Minta PM Letak Jawatan Termasuk Dirinya Sendiri


PETALING JAYA: Dalam sejarah politik Malaysia, tiada tokoh yang lebih panjang pengaruhnya daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dua kali menjawat jawatan Perdana Menteri, dua kali juga meletakkan jawatan.

Namun yang lebih luar biasa daripada tempoh pentadbiran beliau adalah satu pola konsisten yang mengiringinya, desakan agar setiap Perdana Menteri selepas beliau berundur.

Dan ya, termasuk dirinya sendiri.

Corak ini bukan baru. Ia bermula seawal tahun 1969, ketika negara bergelut dengan rusuhan kaum pasca 13 Mei.

Ketika itu, Mahathir menulis surat terbuka mengecam Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama negara.

Kandungan surat itu mengkritik dasar-dasar Tunku yang dianggap terlalu akomodatif terhadap bukan Melayu dan didakwa gagal mempertahankan kedudukan orang Melayu.

Akibatnya, beliau dipecat daripada UMNO.

Tunku akhirnya berundur pada 1970. Walaupun bukan semata-mata kerana Mahathir, impak surat itu terhadap persepsi awam dan dalam parti amat signifikan.

Apabila Mahathir sendiri menjadi Perdana Menteri pada 1981, beliau memimpin negara selama 22 tahun, tempoh terpanjang bagi mana-mana pemimpin Malaysia.

Namun pada 2002, di Perhimpunan Agung UMNO, beliau mengejutkan semua apabila mengumumkan hasrat meletakkan jawatan.

Dalam suasana teresak, pemimpin-pemimpin UMNO naik ke pentas memujuk.

Mahathir akhirnya berundur secara rasmi pada Oktober 2003 dan menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tapi sejurus selepas persaraan, Mahathir mula mengkritik penggantinya.

Dakwanya, Pak Lah terlalu lembap, terlalu bergantung kepada keluarga dan tidak meneruskan dasar-dasar besar yang beliau tinggalkan.

Kritikan itu berterusan melalui tulisan dan ceramah bukan di jalanan tetapi di pentas awam dan digital.

Abdullah akhirnya tunduk pada tekanan dalaman dan meletakkan jawatan pada 2009.

Terhadap Datuk Seri Najib Razak, Mahathir tidak menahan diri.

Ketika skandal 1MDB meledak, beliau keluar dari UMNO, menubuhkan BERSATU dan berpakat dengan musuh politik lamanya Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan.

Demi menjatuhkan Najib, Mahathir sanggup merobohkan sempadan lama.

Usahanya berhasil. Pada PRU14, Najib tumbang dan Mahathir kembali ke tampuk kuasa pada usia 93 tahun.

Namun kerajaan Pakatan Harapan yang diterajuinya hanya bertahan 22 bulan.

Pada Februari 2020, Mahathir meletak jawatan sekali lagi, kali ini dalam krisis dalaman yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Peletakan jawatan itu membuka ruang kepada pembentukan kerajaan baharu tanpa pilihan raya.

Mahathir, sekali lagi, meninggalkan pentas dengan cara yang sama, mendesak perubahan tanpa menamakan pewaris yang jelas.

Selepas itu, corak lama kembali. Muhyiddin Yassin dituduh sebagai Perdana Menteri “pintu belakang” dan tidak sah.

Ismail Sabri pula dikatakan patut berundur dan tidak wajar membubarkan Parlimen.

Setiap Perdana Menteri selepasnya tanpa gagal diukur, dikritik dan akhirnya disuruh turun.

Kini, giliran Anwar Ibrahim.

Selepas lebih dua dekad memperjuangkan reformasi, Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10 pada November 2022.

Dalam tempoh kurang tiga tahun, pentadbirannya mencatatkan pencapaian stabilisasi ekonomi yang signifikan; penurunan harga bahan api RON95 kepada RM1.99 seliter, peningkatan pelaburan asing, reformasi subsidi bersasar serta pengukuhan integriti institusi awam.

Malah, Anwar adalah antara satu-satunya Perdana Menteri yang tidak dikaitkan dengan skandal keluarga atau pengaruh nepotisme, satu tema berulang dalam kritikan Mahathir terhadap PM-PM terdahulu.

Namun pada Julai 2025, Mahathir sekali lagi tampil. Beliau mendakwa reformasi gagal, negara mundur dan Anwar patut meletakkan jawatan.

Maka, soalan yang sudah terlalu lama bermain di fikiran rakyat kembali muncul. Siapa lagi yang layak di mata Mahathir?

Jika Tunku terlalu lembut, Abdullah terlalu lembap, Najib terlalu rakus, Muhyiddin tidak sah, Ismail terlalu pasif dan Anwar pula gagal, maka siapa sebenarnya yang cukup sempurna?

Mungkin tiada.

Kerana walaupun Mahathir sendiri pernah memimpin negara, beliau juga akhirnya dua kali menyuruh dirinya sendiri berundur.

Dan jika beliau sendiri tidak pernah benar-benar puas dengan prestasinya, bagaimana mungkin Perdana Menteri lain mampu memenuhi seleranya?

Selagi Mahathir masih ada dalam ruang politik negara, selagi itulah tiada Perdana Menteri akan benar-benar cukup baik.

Dan itulah, mungkin, kesinambungan paling jujur dalam politik Malaysia sejak merdeka iaitu setiap PM, pasti akan sampai giliran untuk disuruh letak jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Affandi Jamil bukan penganalisis politik cuma pendengar setia sembang mamak. Tapi dia tahu, negara patut lebih waras daripada wacana meja bulat itu.

Related Articles

Back to top button