Semasa

MCMC mula siasat video pempengaruh dakwa hina gelandangan

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap sekumpulan individu dipercayai pempengaruh yang tular selepas memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.

Menurut MCMC, pihaknya memandang serius tindakan menghasilkan dan menyebarkan kandungan yang mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk meraih tontonan dan mencetuskan kontroversi.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, malah merendahkan maruah individu dan berpotensi menormalisasikan budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat,” menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

MCMC turut mengesahkan siasatan terhadap kandungan video terbabit sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sekiranya didapati bersalah, individu terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Sabitan kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” kata MCMC.

Suruhanjaya itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan yang berunsur provokasi, jelik, palsu atau mengancam ketenteraman awam.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan tiga pemuda memberikan nasi bersama sisa tulang ayam kepada gelandangan, yang mengundang kecaman hebat netizen di media sosial.

Related Articles

Back to top button