Nasional

Rakyat Diseru Hayati Rukun Negara – Menteri Perpaduan

PUTRAJAYA: Sempena ulang tahun ke-55 pengisytiharan Rukun Negara, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini melancarkan Kempen Taat Setia Rukun Negara sebagai usaha memperkukuh perpaduan nasional dan menyemai semula semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kempen ini dirangka bukan sekadar sebagai peringatan sejarah tetapi sebagai gerakan nasional untuk menghidupkan semula penghayatan terhadap lima prinsip Rukun Negara yang menjadi asas pembentukan negara.

Ia menyasarkan semua lapisan masyarakat, khususnya generasi muda, agar terus berpegang teguh kepada nilai-nilai kenegaraan dan menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia sebagai tiang seri kehidupan bernegara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, KPN akan melaksanakan sebelas inisiatif utama yang bertujuan menyemarakkan semangat kebangsaan dan memperkukuh perpaduan melalui penghayatan nilai-nilai Rukun Negara.

Antara program yang bakal digerakkan termasuk Konvensyen Sekretariat Rukun Negara, Sambutan Anak Merdeka pada 31 Ogos, Program Malaysiaku Merdeka, Jejak Merdeka Gen Z, Pertandingan Pidato Rukun Negara dan Kembara Harmoni Merdeka yang akan berlangsung di seluruh negara.

“Rukun Negara adalah tunjang kepada usaha menjamin kestabilan sosial dan politik serta membina masa depan negara yang mampan dan harmoni,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, prinsip-prinsip Rukun Negara mencerminkan komitmen serta aspirasi nasional untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu, adil, saksama, demokratik dan progresif.

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, katanya, rakyat Malaysia yang berada di dalam mahupun luar negara digalakkan untuk turut serta dengan memuat naik video atau gambar berkaitan Rukun Negara ke platform media sosial masing-masing dari sekarang hingga 16 September.

Mereka disaran menggunakan tanda pagar #TaatSetiaRukunNegara dan #55TahunRukunNegara sebagai simbol penyertaan dan sokongan terhadap kempen tersebut.

KPN berharap kempen ini akan membangkitkan semula rasa cinta kepada negara dalam kalangan rakyat serta mendorong masyarakat Malaysia untuk lebih menghargai, memahami dan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara.

Melalui inisiatif ini juga, kerajaan optimis dapat membentuk masyarakat MADANI yang progresif, inklusif dan berintegriti, selaras dengan matlamat pembangunan negara yang berteraskan perpaduan dan kesejahteraan bersama.

Related Articles

Back to top button