MCMC Disaran Wujud Kerangka Seragam Penyimpanan Data Bendung Jenayah Siber

Malaysia disaran mewujudkan satu kerangka seragam bagi penyimpanan dan pemeliharaan data komunikasi sebagai langkah penting membanteras jenayah siber dan melindungi mangsa.
Pakar kriminologi dan pensyarah kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, akses segera kepada metadata seperti rekod panggilan, alamat IP dan lokasi adalah amat penting dalam siasatan kes jenayah berat termasuk penipuan siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan.
“Tanpa kerangka yang konsisten, bukti kritikal mungkin dipadam sebelum pihak berkuasa sempat mendapat akses sah.
“Ini boleh melemahkan pendakwaan dan menjejaskan perlindungan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperkenalkan dasar ini adalah langkah tepat, namun pelaksanaannya perlu disertakan dengan sempadan undang-undang yang jelas serta kawalan privasi yang ketat.
Dr Haezreena turut merujuk kepada pengalaman antarabangsa sebagai bukti keberkesanan dasar sedemikian.
“Sebagai contoh, Australia melaksanakan Akta Penyimpanan Data 2015 yang mewajibkan syarikat telekom menyimpan metadata selama dua tahun dan ia terbukti membantu kes jenayah siber, eksploitasi kanak-kanak dan keganasan,” katanya.
Beliau berkata, kebimbangan mengenai privasi wajar ditangani secara teliti melalui mekanisme seperti akses berautoriti, semakan kehakiman dan audit bebas bagi memastikan data hanya digunakan untuk siasatan kesalahan serius.
Selain itu, beliau menyeru agar proses libat urus melibatkan masyarakat sivil, pakar privasi dan industri teknologi dijalankan secara telus untuk menjelaskan tujuan serta batasan kerangka tersebut.
Isu penyimpanan data telah lama menjadi topik perdebatan di peringkat global. Kesatuan Eropah, misalnya, pernah memperkenalkan Data Retention Directive pada 2006 bagi menyeragamkan simpanan data rentas negara, namun ia dibatalkan kemudian atas faktor privasi.
Malaysia kini dilihat sedang meneliti pendekatan serupa, dalam usaha menyeimbangkan antara keselamatan awam dan hak asasi rakyat.