Penghargaan Kerajaan khusus golongan M40, tidak lagi berasa terpinggir – Pakar

PUTRAJAYA: Pengumuman penghargaan yang menjadi kejutan seluruh rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal memberi impak positif kepada golongan pertengahan M40, yang selama ini berasa dipinggir daripada menerima bantuan langsung daripada kerajaan.
Pakar Ekonomi dari Putra Business Scholl, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah pemberian seperti RM100 secara ‘one-off’ kepada individu dewasa seluruh Malaysia dilihat mampu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh golongan M40 khususnya buat mereka yang mempunyai anak atau tanggungan yang ramai.
“Bantuan RM100 kepada individu akan mampu mengurangkan beban buat golongan M40 yang mempunyai banyak tanggungan ataupun anak yang ramai,” katanya.
Menurut Ahmed, satu lagi pemberian yang tidak disangka iaitu penuruan harga minyak petrol RON95 yang diumumkan Perdana Menteri turut memberi nafas lega buat M40.
“Penurunan minyak petrol Ron95 memberi nafas lega kepada m49 kerana mereka mampu mengurangkan perbelanjaan mereka sekali gus menambahkan pendapatan yang lebih dan boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menyambut baik penggunaan mekanisme Mykad yang menjadi satu-satunya platform pemberian bantuan dan menyifatkannya sebagai langkah yang strategik.
Dengan mekanisme MyCard katanya, golongan M40 tidak lagi tercicir daripada bantuan kerajaan.
“Kerajaan boleh memberi bantuan bila-bila masa sahaja kepada M40 kerana sudah ada mekanisme yang sama iaitu MyCard.
“Mekanisme memberi bantuan menerusi MyCard ini adalah satu permulaan inisiatif yang turut diambil oleh negara-negara luar iaitu cara pelaksanaan Universal Basic Income yang boleh memberi manfaat kepada golongan M40 dan tidak akan membuat mereka rasa terpinggir,” tambahnya.
Justeru, inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri bukan sahaja menyasarkan golongan B40 semata-mata, malah turut membawa mesej inklusif bahawa golongan M40 juga tidak akan terpinggir dalam agenda kesejahteraan rakyat.