Ulasan | RXZ: Fenomena Komuniti Dan Isyarat Kerajaan

Oleh: Syafiq Sunny
ULASAN | LAGU “Orang Yang Salah” pernah mengungkap:
“Mungkin ini salahku tak bercermin muka,
Aku menabur cinta di orang yang salah.
Dan aku sadar bukan siapa siapa,
Ku hanya punya cinta tak punya apa apa.”
Bait itu seakan mengingatkan kita bahawa sesuatu yang dilakukan dengan niat baik boleh ditafsir dengan seribu wajah. Begitulah RXZ Members 7.0 – sebuah acara yang penuh warna, menerima sokongan kerajaan Persekutuan, tetapi tidak terlepas daripada perbahasan dan persepsi bercampur.
RXZ Members 7.0 mencatatkan penyertaan luar biasa dengan kehadiran ratusan ribu peminat RXZ dari seluruh negara, menjadikannya antara perhimpunan motosikal terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.
Boleh Berdiri Tanpa Wang Kerajaan
Skala penyertaan yang begitu besar ini jelas membuktikan RXZ Members 7.0 mampu berdiri dengan kekuatan sendiri, disokong oleh solidariti komuniti RXZ dan pengalaman penganjur yang berupaya menguruskan acara sebesar ini tanpa bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.
Namun, sumbangan RM100,000 daripada Perdana Menteri, ditambah RM200,000 daripada syarikat swasta, bukan soal “wang ringgit semata-mata”. Ia adalah simbol pengiktirafan terhadap budaya permotoran yang telah lama berakar dalam masyarakat Malaysia.
Sokongan Bukan Pada Negeri Tetapi Program
Ada yang mempersoalkan, mengapa kerajaan Persekutuan memberi sokongan ini di Terengganu, negeri yang diperintah pembangkang. Hakikatnya, sumbangan itu bukan ditujukan kepada negeri, tetapi kepada program RXZ Members 7.0 yang bersifat nasional.
Peserta datang dari Pahang, Kedah, Johor, Sabah, bahkan Sarawak. Fenomena RXZ bukan milik satu negeri, tetapi milik sebuah komuniti besar yang merentas sempadan politik dan geografi. Sokongan kerajaan pusat hakikatnya adalah untuk rakyat Malaysia yang berhimpun atas nama hobi dan persaudaraan.
Komitmen Kerajaan Pusat
Lebih penting daripada dana, mesej sebenar ialah bahawa kerajaan pusat bersedia memberi ruang, perlindungan, dan jaminan keselamatan agar acara besar ini berjalan lancar.
Jika kerajaan tidak peduli, adakah peserta dari luar akan berasa yakin untuk datang? Pernah ada kisah kawalan jalan, “pukat” dan pelbagai kesulitan lain. Kehadiran sokongan kerajaan pusat memberi keyakinan bahawa program ini bukan sahaja sah, malah diiktiraf sebagai sebahagian daripada denyut nadi masyarakat.
Insiden ‘Di-Boo’
Namun, satu insiden kecil tetap mencuri perhatian. Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, menerima ejekan atau “boo” daripada sebahagian kecil peserta.
Padahal beliau hadir bukan untuk berpolitik, tetapi untuk membawa mesej daripada Perdana Menteri. Kehadiran Shamsul ibarat seseorang yang datang membawa bunga – tanda perhatian, bukan untuk menagih tepukan. Beliau menyampaikan amanat bahawa Perdana Menteri mengambil berat terhadap komuniti RXZ, malah ingin melihat dan mendengar denyut nadi mereka sendiri.
Reaksi itu adalah suara segelintir. Majoriti peserta hadir untuk berkonvoi, berkumpul, dan mengikat persaudaraan RXZ. Namun, ia mengingatkan kita bahawa mesej sokongan boleh mudah ditafsir melalui lensa sentimen, walaupun niat asalnya adalah untuk menghargai.
Realiti Mengurus Ribuan
Ibarat kita duduk di kedai kopi – ada yang sekadar berbual santai, ada juga yang bercakap kuat sehingga mengganggu suasana. Begitulah hakikat sebuah himpunan besar RXZ. Mustahil setiap seorang akan berdisiplin, pasti ada segelintir yang bertindak di luar batas.
Walaupun penganjur dan kerajaan berulang kali mengingatkan tentang kepentingan keselamatan jalan raya, tetap ada yang memilih untuk melanggar undang-undang. Aksi sebegini akhirnya menyusahkan komuniti RXZ sendiri, dan turut menyulitkan pengguna jalan raya lain.
Kerajaan telah memberi sokongan, penganjur menyediakan ruang, tetapi tanggungjawab terakhir tetap terletak pada setiap individu. Tingkah laku seorang penunggang akan mencerminkan imej seluruh komuniti RXZ – sama ada positif atau sebaliknya.
Penutup
RXZ bukan sekadar motosikal. Ia adalah budaya jalanan, ruang nostalgia, dan komuniti yang merentas usia serta latar belakang. Penganjur sudah membuktikan mereka mampu berdiri sendiri, namun sokongan kerajaan pusat tetap penting sebagai tanda komitmen terhadap dunia sukan dan rakyat yang berkomuniti.
Dan mungkin cinta itu akan disambut. Usaha kerajaan walaupun ada yang memandang lekeh, inshaAllah akan tetap memberi impak. Kerajaan MADANI adalah kerajaan yang mendengar, dan akan terus melaksanakan kebaikan.
Jika semalam ada individu yang mengejek dengan “boo”, satu hari nanti individu yang sama akan turut merasai hasil perjuangan kerajaan – meskipun mungkin tanpa ucapan terima kasih.
Kerana seperti bait lagu yang sering kita dengar, yang ikhlas akhirnya akan kekal, walau tidak selalu disebut dengan kata.
***Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mencerminkan pendirian mana-mana organisasi, portal media, atau pihak lain. Segala hujah, pandangan, dan tafsiran ditulis atas kapasiti individu serta bertujuan untuk mencetuskan wacana, bukan mewakili dasar rasmi kerajaan atau mana-mana institusi.