Duta Palestin puji Malaysia, konsisten sokong perjuagan rakyar Palestin

PETALING JAYA: Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan konsisten yang diberikan kepada perjuangan rakyat Palestin yang disifatkan sebagai luar biasa dan penuh kasih sayang.
Dalam ucapannya sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 pada Selasa, Walid berkata, tujuh tahun beliau berkhidmat di Malaysia sebagai wakil Palestin telah meninggalkan kenangan mendalam khususnya dari sudut solidariti rakyat Malaysia terhadap Palestin.
“Apa yang paling saya sayangi adalah kesepakatan, sokongan dan kasih sayang yang Malaysia selalu tunjukkan untuk Palestin.
“Malaysia telah menjadikan Palestin sebagai keutamaan dalam dasar mereka, sama ada di peringkat tempatan, serantau mahupun antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau, meskipun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pandangan, isu Palestin tetap menjadi titik penyatuan yang kukuh.
“Di mana-mana saya pergi, saya melihat Palestin berakar di hati rakyat Malaysia.
“Kesepakatan moral ini mengisi saya dengan rasa bangga yang menakjubkan dan inilah yang paling saya hargai tentang Malaysia,” ujarnya lagi.
Walid turut menyampaikan ucapan tahniah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025, sambil menzahirkan keyakinan terhadap sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Selamat Hari Merdeka, Selamat Hari Malaysia.
“Kami yakin hari bersejarah ini menzahirkan sokongan berterusan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap perjuangan adil rakyat Palestin.
“Tahniah dan Merdeka Mubarak. Terima kasih Malaysia,” katanya.