Parlimen

RUU PSB 2025: Dari Rumah Usang Ke Harapan Kehidupan Bermaruah

PETALING JAYA: Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) 2025 kini berada di tengah gelanggang politik dan masyarakat. Ia menjadi pertembungan antara naratif lama tentang keruntuhan flat usang dengan visi baharu kerajaan untuk menyediakan perumahan lebih selesa dan moden.

Walaupun ada suara yang menolak kerana bimbang risiko gentrifikasi, semakin ramai penghuni flat lama tampil menyokong dengan harapan undang-undang ini benar-benar mampu membawa mereka keluar daripada kitaran kesempitan dan kemiskinan bandar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dakwaan kononnya RUU PSB adalah strategi rampasan rumah tidak berasas. Beliau menjelaskan syarat-syarat ketat sudah ditetapkan bagi memastikan hak semua pemilik dihormati.

“Kalau betul 40 tahun rumah itu, 80 peratus mesti setuju dengan syarat yang ketat. Dan kita tetapkan yang 20 peratus itu jangan kita abaikan. Kalau dia ada hak, ada geran, mesti diberi pampasan yang mencukupi,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat.

Anwar turut berkongsi pengalamannya melawat Flat Seri Perlis di Kuala Lumpur.

“Saya pergi tengok rumah sewa satu bilik didiami dua keluarga, satu daripadanya ada enam anak. Tanggungjawab kita mencari kaedah membangunkan semula dengan sekurang-kurangnya tiga bilik untuk sebuah keluarga,” katanya.

Bagi Anwar, RUU PSB adalah simbol komitmen kerajaan untuk “mengangkat maruah hidup rakyat bandar, bukan merampas hak mereka.”

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, pula menjelaskan bahawa undang-undang itu lahir hasil libat urus yang menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Menurutnya, kerajaan tidak pernah menutup pintu untuk berbincang sebelum menggubal draf yang dibawa ke Parlimen.

“RUU ini telah melalui konsultasi yang meluas. Ia bukan rampasan kuasa, tetapi satu hala tuju baharu untuk pembangunan bandar yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.

Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Dr Alias Rameli, turut memperincikan bahawa lebih 100 sesi libat urus telah dijalankan dengan persatuan penduduk, pakar dan pihak industri sebelum RUU itu dimuktamadkan.

“Cadangan untuk menangguhkan bacaan RUU PSB tidak wajar kerana ia telah melalui proses perbincangan yang cukup mendalam. Rang undang-undang ini tidak menjejaskan undang-undang lain atau hak istimewa orang Melayu,” katanya.

Alias menegaskan, peranan utama RUU ini adalah meletakkan asas perundangan yang jelas. Jika sebelum ini pembangunan semula bandar bergantung pada rundingan kes demi kes yang longgar, kini undang-undang ini memberi garis panduan khusus supaya penduduk tidak dipinggirkan.

Walaupun ada pihak pembangkang bimbang tentang gentrifikasi dan lebih 90 NGO menolak kerana mendakwa ia memberi kuasa besar kepada pemaju, bantahan itu tidak sekuat suara sokongan yang datang daripada penghuni flat lama sendiri.

Mereka tampil ke hadapan, menyerahkan memorandum dan menyuarakan pengalaman hidup bertahun-tahun dalam rumah usang tanpa kemudahan asas.

Menurut laporan media, Pengerusi Penduduk Taman Sri Indah di Bukit Jalil, Rahimah Abdul Ghafor, 71, berkata keadaan flat yang mereka diami semakin teruk.

“Kediaman kami usang dengan pelbagai kerosakan selain ancaman haiwan perosak serta binatang berbisa,” katanya.

Bagi Rahimah, RUU PSB adalah peluang untuk penduduk keluar daripada kehidupan yang tidak selamat dan tidak selesa selepas hampir tiga dekad menetap di kawasan itu.

Seorang lagi penduduk, S. Vijayan, 65, menyokong penuh pelaksanaan RUU tersebut. Katanya, keadaan flat lama yang tiada lif dan semakin uzur menyebabkan hidup mereka amat sukar.

“Rumah sudah teruk. Kenapa ada bantahan (RUU). Ia tiada yang merugikan. Flat tiada lif, saya sendiri tidak boleh duduk di situ sebab kaki sakit akibat kemalangan, susah hendak naik tangga,” katanya.

Sementara itu, Fong Yew Seng, 85, pula menzahirkan harapan agar kerajaan meluluskan segera RUU PSB supaya pembinaan semula dapat dilaksanakan.

“Keadaan rumah sudah teruk, tiada kemudahan lif, bumbung dan dinding juga sudah rosak. Kami harap YB boleh luluskan RUU. Harap boleh dilakukan pembinaan semula untuk kediaman lebih selesa,” katanya.

Testimoni penduduk ini mencerminkan realiti sebenar: majoriti yang tinggal di flat usang mahu perubahan segera.

Bagi mereka, RUU PSB bukan sekadar teks undang-undang, tetapi kunci untuk mendapatkan kehidupan lebih baik selepas puluhan tahun berkorban dalam ruang sempit yang penuh kekurangan.

RUU PSB juga menandakan titik penting dalam naratif pembangunan bandar negara ini. Jika dilaksanakan dengan telus, ia berpotensi menjadi reformasi perumahan terbesar sejak Dasar Ekonomi Baru, sekali gus membolehkan ratusan ribu keluarga mendapat kediaman moden, luas dan selesa.

Kerajaan kini dipertanggungjawabkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang itu tidak menyimpang daripada matlamat asalnya.

Mekanisme pampasan yang adil, perumahan transit yang mencukupi, serta jaminan penduduk asal boleh kembali ke projek baharu selepas siap adalah elemen penting yang tidak boleh dikompromi.

RUU PSB bukan sahaja diuji di Dewan Rakyat, tetapi juga di mata rakyat. Seperti yang dizahirkan oleh penghuni flat, mereka mahukan satu perkara mudah — rumah yang lebih baik, lebih selesa, dan lebih bermaruah.

Jika itu dapat dicapai, undang-undang ini akan dikenang sebagai reformasi sosial yang berjaya.

Related Articles

Back to top button