Anwar

RUU PSB: Anwar Tegas Tiada Rampasan Rumah, Fokus Naik Taraf Perumahan Bandar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak berniat merampas rumah rakyat melalui Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) 2025, sebaliknya mahu meningkatkan taraf hidup masyarakat yang tinggal di kawasan perumahan usang di bandar.

Anwar berkata, terdapat cadangan menetapkan ambang usia 30 atau 40 tahun bagi bangunan sebelum boleh dipertimbang untuk pembangunan semula, dengan syarat sekurang-kurangnya 80 peratus pemilik bersetuju. Beliau menambah, hak 20 peratus yang tidak bersetuju tetap akan dilindungi melalui pampasan yang mencukupi.

“Kalau betul 40 tahun rumah itu, 80 peratus mesti setuju dengan syarat yang ketat. Dan kita tetapkan yang 20 peratus itu jangan kita abaikan. Kalau dia ada hak, ada title, mesti bagi pampasan yang mencukupi,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri turut berkongsi pengalamannya melihat keadaan daif perumahan rakyat di Flat Seri Perlis, Kuala Lumpur, yang hanya mempunyai satu bilik namun dihuni dua keluarga. Beliau menegaskan RUU PSB penting untuk memberi peluang kepada penduduk menikmati rumah lebih selesa sekurang-kurangnya tiga bilik.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), sebelum itu mendesak kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU PSB dengan alasan ia boleh menyebabkan gentrifikasi dan meminggirkan golongan miskin, khususnya masyarakat Melayu dan India.

Menjawab perkara itu, Anwar menafikan dakwaan tersebut serta menolak andaian kononnya RUU PSB adalah strategi untuk merampas rumah orang Melayu. “Saya bukan boneka. Saya mesti pertahankan hak asasi orang Melayu yang merupakan majoriti. Jangan kita buat andaian ini strategi Cina untuk rampas rumah Melayu,” katanya.

Anwar menegaskan, walaupun RUU PSB mungkin mempunyai kelemahan, ia boleh ditambah baik melalui perbahasan dan cadangan penambahbaikan di Parlimen. Katanya, kerajaan mahu memastikan undang-undang baharu itu benar-benar membantu rakyat, terutama masyarakat bandar yang tinggal dalam keadaan perumahan daif.

Related Articles

Back to top button