Anwar

Anwar Umum RM2 Juta Untuk Pendekar MADANI, Terima Pertabalan Imam Khalifah Agong

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menyelaras usaha menyatukan semua pertubuhan silat di bawah panji semangat Pendekar MADANI.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan lebih 10,000 penggiat silat pelbagai persatuan sempena perhimpunan Hari Malaysia di Politeknik Seberang Perai.

Menurut Anwar, dana tersebut akan dimanfaatkan untuk menyemarakkan gelanggang silat di sekolah, politeknik, universiti dan institusi pendidikan di seluruh negara dengan matlamat melahirkan pesilat muda yang bukan sahaja tangkas tetapi juga berdisiplin, berakhlak dan berbangga dengan pusaka bangsa.

“Semangat Pendekar MADANI bukan untuk bermegah atau bersikap angkuh tetapi melatih akhlak, menanam hormat sesama insan tanpa mengira kaum dan mengasuh jiwa supaya gagah dalam kehidupan,” katanya.

Anwar turut berkongsi pengalaman menimba ilmu persilatan daripada tiga tokoh tersohor Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, Ustaz Hanafi Ahmad dan Datuk Dr Raja Abdul Majid Raja Mat Isa yang menurutnya mengajar bahawa kehebatan silat terletak pada disiplin, akhlak dan adab menghormati sesama manusia.

Dalam majlis sama, Anwar menerima pertabalan sebagai Imam Khalifah Agong Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti oleh Pakndak Majid, tokoh persilatan yang dianggapnya sebagai guru besar dan sahabat setia.

“Bagi saya, Pakndak Majid bukan sekadar guru tetapi teman setia dalam suka dan duka perjalanan hidup.

“Silat adalah ikatan persaudaraan dan perjuangan merentas masa,” ujar Anwar.

Beliau menegaskan bahawa dengan semangat dan kesatuan Pendekar MADANI, Malaysia mampu memperkasakan jiwa bangsa untuk menentang penindasan serta membina negara bermaruah di persada dunia.

Related Articles

Back to top button