Nasional

MCMC Perkukuh Infrastruktur Digital Negara Di Bawah Belanjawan 2026

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 bukan sekadar pelaburan fiskal tetapi satu pelan tindakan strategik untuk memperkukuh infrastruktur digital negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi penekanan khusus kepada sektor komunikasi dan multimedia sebagai pemacu kemajuan negara.

Dalam kenyataan rasmi pada Sabtu, MCMC menegaskan komitmen penuh untuk melaksanakan pelbagai inisiatif yang diumumkan, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan teknologi sebagai hak milik bersama rakyat.

“Di bawah Belanjawan 2026, MCMC komited memperkukuh ekosistem komunikasi dan multimedia negara serta memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi secara inklusif dan seimbang di seluruh Malaysia,” katanya.

Antara projek berskala besar yang bakal digerakkan ialah pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer dari Johor ke Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM2 bilion.

Dalam masa yang sama MCMC berkata, RM2 bilion lagi diperuntukkan untuk membangunkan Sovereign AI Cloud sebagai usaha memperkukuh kedaulatan data negara.

Inisiatif ini turut merangkumi penubuhan AI Transformation Centre bersama Universiti Multimedia (MMU) dan Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies sebagai pusat penyelidikan yang bakal menjadi nadi pembangunan kecerdasan buatan (AI) negara.

Projek Liputan Jendela Fasa 2 pula menerima suntikan RM780 juta untuk memperluas jalur lebar ke 2,700 lokasi baharu khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman agar tiada rakyat tercicir dalam arus pendigitalan.

Dalam sektor kesihatan, sebanyak RM650 juta diperuntukkan untuk memperkasa ketersambungan internet di hospital dan klinik awam, manakala RM350 juta disalurkan untuk menaik taraf 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab latihan digital dan keusahawanan desa.

“Sistem Amaran Awal (EWS) bernilai RM210 juta turut akan membangunkan sistem amaran awal bencana bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dan melindungi rakyat,” kata kenyataan itu.

MCMC turut menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G yang disasarkan mencapai liputan 80 peratus menjelang 2026 yang merupaka satu langkah yang dijangka menyediakan perkhidmatan internet lebih pantas dan mampu milik untuk rakyat serta perniagaan.

“Langkah ini dijangka menyediakan perkhidmatan Internet yang lebih pantas dan mampu milik untuk rakyat serta perniagaan,” tambahnya.

Dalam aspek keselamatan siber, MCMC akan memperluas Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran penggunaan internet secara beretika dan selamat kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Keseluruhannya, inisiatif di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen MCMC untuk memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi dan memastikan rakyat di seluruh negara menikmati manfaat pembangunan secara saksama,” katanya.

Related Articles

Back to top button