Nasional

Kerajaan Wajibkan Pengesahan Identiti Bagi Platform Sosial Media

SIPITANG: Kerajaan akan mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi mengelak kanak-kanak bawah umur 13 tahun daripada memiliki akaun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan setiap platform mematuhi garis panduan komuniti yang ditetapkan.


“Saya telah memaklumkan kepada wakil platform media sosial bahawa Malaysia akan mewajibkan proses eKYC, terutama bagi memastikan kanak-kanak bawah 13 tahun tidak memiliki akaun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program NADI on Wheels (NOW) di Dewan Undangan Negeri Sindumin, pada Rabu.


Menurutnya, satu mesyuarat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan wakil platform media sosial akan diadakan minggu depan sebagai langkah awal pelaksanaan dasar berkenaan.


“Tempoh pelaksanaannya akan saya bentangkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum diumumkan secara rasmi,” katanya.


Selain melindungi kanak-kanak, Fahmi menjelaskan pelaksanaan eKYC juga penting bagi membanteras penipuan dalam talian serta penyebaran kandungan berbahaya termasuk iklan palsu dan aktiviti perjudian.


“Banyak platform disalah guna untuk tujuan penipuan, malah 78 peratus kandungan penipuan yang diturunkan datang daripada Facebook,” katanya.


Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan melalui MCMC turut memberi tumpuan memperluas capaian digital di seluruh negara melalui inisiatif seperti NADI on Wheels (NOW) dan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.


“Projek SALAM akan menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah, termasuk laluan kabel dasar laut dari Tanjung Aru ke Tawau yang dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” ujarnya.


Fahmi turut menegaskan, Kementerian Komunikasi komited memperkukuh infrastruktur telekomunikasi di Sabah melalui penyelenggaraan menara komunikasi dan penggunaan sistem jana kuasa hibrid bagi menghadapi risiko bencana banjir.

Related Articles

Back to top button