MCMC Anjur Kempen Internet Selamat, 756 Pelajar Sabah Sertai

KOTA KINABALU: Seramai 756 pelajar Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu telah menyertai Kempen Internet Selamat (KIS), sebuah inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kempen itu bertujuan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai keselamatan siber dan penggunaan internet secara beretika, sejajar dengan peranan mereka sebagai pengguna utama teknologi digital.
Majlis pelancaran program disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang menekankan pentingnya pendidikan awal dalam menghadapi cabaran dunia siber.
“Kesedaran mengenai keselamatan siber perlu dipupuk sejak di bangku sekolah kerana generasi muda hari ini merupakan pengguna utama internet dan media sosial,” kata MCMC dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Sepanjang kempen, para pelajar didedahkan kepada pelbagai isu kritikal seperti penipuan dalam talian, buli siber, penyebaran maklumat palsu dan perlindungan data peribadi.
Setakat Oktober, sebanyak 434 institusi pendidikan di seluruh Sabah telah menyertai KIS, mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina masyarakat digital yang celik teknologi, beretika dan selamat


