Nasional

Malaysia Raih Pengecualian Tarif AS Bernilai USD5.2 Bilion

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat pencapaian penting dalam hubungan perdagangan antarabangsa apabila Amerika Syarikat (AS) bersetuju memberikan pengecualian tarif bernilai USD5.2 bilion kepada produk eksport utama negara.

Langkah itu dimeterai melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) AS-Malaysia yang disifatkan sebagai pemangkin kestabilan dan kepastian kepada perniagaan tempatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Azizi berkata, perjanjian tersebut menyaksikan penurunan kadar tarif daripada 25 peratus kepada 19 peratus untuk barangan Malaysia, sekali gus melindungi produk tempatan daripada risiko kenaikan mendadak yang boleh menjejaskan daya saing eksport negara.

“Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) AS-Malaysia mewujudkan kepastian dan kestabilan yang kritikal untuk perniagaan tempatan kita!

“AS telah bersetuju untuk menurunkan tarif daripada 25 peratus kepada 19 peratus untuk barangan Malaysia, yang menstabilkan dan melindungi produk kita dari ancaman kenaikan mendadak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Lebih membanggakan katanya, Malaysia turut memperoleh pengecualian penuh daripada tarif 19 peratus untuk 1,711 talian tarif yang meliputi eksport strategik seperti minyak sawit, produk getah dan alat ganti pesawat.

Beliau berkata, langkah itu dijangka merangsang pelaburan berimpak tinggi dan membuka peluang pekerjaan berkualiti, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh daya saing dan kemakmuran ekonomi jangka panjang.

“Komitmen ini bukan sahaja membawa pelaburan berimpak tinggi, malah menjana peluang pekerjaan berkualiti.

“Kita teruskan momentum ini demi memastikan kemakmuran dan masa depan,” katanya.

Related Articles

Back to top button